ANAK rayu SPNB lupus baki pinjaman rumah generasi baharu Felda didiami golongan ibu tunggal

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) merayu Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) melupuskan baki pinjaman rumah generasi baharu Felda yang didiami golongan ibu tunggal.

SPNB dan Felda melaksanakan projek pembinaan rumah mampu milik untuk generasi baharu Felda di tanah-tanah rancangan.

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata demikian selepas menziarahi Rosimah Yatim, 41, di Felda Bukit Besar, Kota Tinggi semalam.

Empat daripada lima anak ibu tunggal itu masih bersekolah manakala Ain Aisyah masih berusia setahun dua bulan dan memaksa Rosimah buat masa ini untuk tidak bekerja.

Suami Rosimah, Allahyarham Mohd Ashraf Mohtar@Yap, 45, meninggal dunia lebih sebulan lalu kerana disyaki menghidap kanser.

“ANAK bersimpati dengan situasi keluarga ini. Sedang diusahakan agar JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) memberi sumbangan bulanan.

“SPNB dirayu melupuskan baki pinjaman rumah Generasi 2 yang didiami ketika ini. Bayaran bulanan RM150, melalui BSN (Bank Simpanan Nasional),” katanya.

Sehubungan itu, ANAK menyeru orang ramai berterusan menyalurkan sumbangan bagi meringankan tanggungan keluarga Rosimah.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut, pimpinan Wanita AMANAH Tenggara.

Dalam perkembangan lain, Felda dan SPNB menjangka akan membina lagi 20,000 unit rumah untuk generasi baharu Felda sehingga tempoh 2018.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada April lalu dilapor berkata, kerja-kerja awal seperti sukatan tanah telah dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut.

Menurutnya, Felda dan SPNB turut mengadakan kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri agar rumah yang dibeli generasi baharu tanah rancangan itu bukan sekadar mampu milik tetapi juga mampu dibayar.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *