Tanggal 24-30 September, adalah masa meraikan minggu buku haram seluruh dunia

Minggu ini, 24-30 September, adalah minggu buku haram seluruh dunia. Salah satu sebab musabab sesebuah buku diharamkan ialah kerana adanya gagasan pengarang yang termuat di dalam buku tersebut tidak disenangi oleh pihak berkuasa.

Seseorang pengarang yang tulen akan bermain dengan mara bahaya di dalam karangannya. Penerima Hadiah Nobel dari Amerika Syarikat, Toni Morrison, pernah berkata, “Mengarang karya sastera adalah kerja berbahaya, tetapi ia adalah salah satu perkara paling penting yang dilakukan manusia.”

Pada 2008, mufti Perlis yang dicintai sesetengah pihak kerana dianggap “progresif”, mengutus warkah kepada editor Harian Metro, dengan salinannya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri, yang antara lain mengaitkan novel bersiri saya “Ketupat Cinta” dengan fahaman Syiah.

Anehnya, deretan pengarang yang kemudian turut menuduh gagasan di dalam novel itu sebagai “salah” termasuklah sekumpulan ustaz yang turut dikaitkan dengan fahaman Wahhabi.

Oleh kerana Wahhabisme semakin mendapat layanan kasih sayang, tuduhan itu memberi impak kepada semua karya saya. Padahal pengekor yang membaca Ketupat Cinta hanya menemukan sebuah satira politik yang penuh lelucon.
Syiah

Ramai pengarang yang telah memuatkan, malah berkompromi, dengan gagasan supra mazhab termasuk Syiah sejak dahulu lagi. Tetapi Wahhabi tidak bermaharajalela di tanahair kita seperti waktu ini.

Sebagai contoh ambil sahaja Profesor Syed Naguib al-Attas dalam tulisannya bertajuk “Preliminary Thoughts on the Nature of Knowledge and the Definition and Aims of Education” termuat dalam buku “Aims and Objectives of Islamic Education”. Beliau menyarankan doktrin Syiah dipelajari secara positif di sekolah.

Atau karangan Dr Burhanuddin al-Helmi, pemimpin PAS, dalam buku “Simposium Tasauf dan Tarikat” yang menyatakan wajarnya menerima mazhab itu.

Tetapi saya menjadi mangsa kepada penggunaan Islam untuk meraih populariti dalam politik dan dakwah seperti pernah disebut oleh Dr Mohd Azizuddin Mohd dari Universiti Utara Malaysia.

Kerja seni sangat berkait dengan tafsiran, ia adalah aktiviti sosial. Oleh kerana itu ia juga merupakan komponen budaya yang dapat diwariskan. Menahan, melarang, mengharam kerja seni adalah perampasan maruah dan kehormatan manusia kerana hak untuk mewariskan produk seni ini dinafikan.

Ia merupakan penafian hak untuk pengarang dan pembaca. Ia adalah penafian hak untuk menafsirkan. Pihak yang mengharamkan merasakan hanya diri mereka berhak menafsir sesuatu perkara, dan memaksakan satu bacaan atau tafsiran ke atas karya seni. Ia bertujuan mengawal minda, dan ia adalah suatu kesalahan di bawah hak asasi manusia.

Inilah sebabnya Artikel 27 Piagam Hak Asasi Manusia (UDHR 1948) dan Artikel 15 Kovenan Antarabangsa tentang Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR) menegaskan adalah menjadi hak setiap manusia untuk ikut terlibat dalam kebudayaan, menikmatinya, mengaplikasikannya, dan pemerintah wajib memelihara kemerdekaan ahli seni dan mereka yang mahu meraikannya.

Sasterawan yang membisu

Karya sastera yang tulen adalah ejen perubah masyarakat, menghalang akses kepada ejen perubahan adalah satu perbuatan memangsakan budaya secara langsung. Hal ini, misalnya, dinyatakan oleh Kementerian Luar Negara Denmark pada 2013 dalam satu panduan mengenai perlindungan seni, budaya dan dalam konteks saya, sastera.

Tetapi Malaysia bukan Denmark. Jauh panggang dari api. Cumanya saya sayang Malaysia. Ia negara saya.

Apabila 6 buah karya saya diharamkan, tiada sesiapa pun berkutik mempertahankan hak-hak ini. Tiada Sasterawan Negara yang ramai itu, kecuali A. Samad Said (secara terbuka) dan Shahnon Ahmad (secara tertutup), memberi sokongan kepada saya.

Hak pengarang untuk berkarya, dan hak pembaca untuk menikmati telah dimatikan. Saya akan bawa diamnya sasterawan negara lain sebagai contoh di akhirat nanti.

Sesebuah gagasan yang dilarang oleh seseorang seniman adalah pemangsaan untuk masyarakat secara keseluruhan. Ambil contoh, apabila kerja Za’aba (Zainal Abidin Ahmad) diharamkan.

Penulisan Za’aba

Tulisan beliau dalam Pengasuh, Utusan Melayu dan Lembaga Melayu yang banyak mengkritik British dan aristokrat Melayu yang bersekongkol telah membakar kemarahan Raja Chulan, putera kedua Sultan Abdullah dari Perak.

Kerja Za’aba diawasi, posisi beliau sebagai ahli akademik pada tahun 1919 dihadkan, malah gajinya digantung. Kerja Za’aba itu dilarang. Pelarangan itu memangsakan seluruh masyarakat tentunya.

Dalam Lembaga Melayu, bertarikh 28 Mei 1917, Za’aba menulis:
[O]rang patut-patut (kaya-kaya, besar-besar, bijak-bijak) kita duduk bersenang-senang diri masing-masing dalam bilik mahligainya dengan nikmat sentosa dan cukup puas hati pula, datang rasa hatinya dan sampai hatinya memandang anak-anak bangsa bergelumang dengan kehinaan dan kejatuhan kepada saf-saf yang jauh di belakang kaum penumpang negeri.

Inilah kritikan yang membakar Raja Chulan sehingga meruok, lantas baginda telah bertitah:
[K]habarnya selalu [Za’aba] menulis di dalam surat khabar terutama di dalam surat khabar Melayu mengata-ngata kerajaan buat tak patut [,] begini-begini. Ini saya ingatkan, kalau awak [Za’aba] selalu buat begitu, esok nanti kerajaan pandang tak betul sama awak. Tak dapat naik gaji, tak dapat jawatan. Barangkali dibuang terus.

Dalam syairnya yang turut dilarang waktu itu, Za’aba mengkritik kaum agamawan. Saya turunkan 3 rangkap syair beliau yang sangat pedas terkena batang hidung ulama:
Benar salah tidak payahan
Semua Islam punya suruhan!
Terima [,] tidak boleh menggeleng!
Kalau ada yang arif johan,
Ilmu dan akal bawa usluhan,
Dengan matanya kena hembaling
Bida’ah sesat jadi tuduhan
Jadi hakim seperti Tuhan
Ulama jadid disangka maling [sesat].

Pelarangan buku atau karya, selalunya untuk memuaskan hati kaum elit. Ini terserlah seperti yang terlihat pada karya Za’aba di atas.

Kaum elit ingin mengawal anggota masyarakat agar hanya mendengar versi mereka. Ia dengan itu membahayakan masyarakat terbanyak dan menekan kita agar jangan berfikir, iaitu nilai diri sendiri yang mesti digunakan.

Fakulti rasio kita disekat. Inilah yang terjadi kepada karya-karya Za’aba, dan karya saya.

Sasterawan yang diam adalah ejen bersekongkol. Ulama seperti Asri dan lain-lain adalah elit yang ingin mengawal. Heran, beliau masih dianggap liberal dan progresif oleh kawan-kawan.

>> Komentar bebas Faisal Tehrani, nama pena kepada Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 6 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia I 29 September 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *