Mohamad Sabu yakin menang mana-mana kerusi PRU14 termasuk Pekan, Kelantan

KUALA LUMPUR: Presiden Amanah, Mohamad Sabu yakin akan memenangi mana-mana kerusi Parlimen atau DUN yang beliau tandingi pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU14).

“Saya rasa, peluang cerah untuk saya menang jika bertanding di mana-mana kerusi, termasuk jika bertanding di Kelantan ataupun kerusi Pekan, Pahang,” katanya dalam sidang media di Wisma Amanah semalam.

Beliau menambah terdapat permintaan yang mahu beliau bertanding di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Bagaimanapun, keputusan untuknya bertanding atau tidak akan ditentukan parti.

“Parti akan menilai terlebih dahulu apakah saya sesuai untuk bertanding atau tidak. Boleh jadi juga saya tidak bertanding, jika tiada persetujuan parti.

Kelantan merupakan kubu kuat PAS yang menguasai pentadbiran kerajaan negeri sejak 1990. Manakala, Pekan merupakan kerusi Parlimen yang dipegang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak usia 23 tahun.

Malaysiakini melaporkan Amanah bercadang meletakkan presiden mereka sebagai calon PRU14 di kerusi Parlimen Kota Raja dan Dun Taman Templer.

Langkah meletakkan Mohamad itu dipercayai sebagai sebahagian daripada usaha menempatkan Amanah sebagai pengganti PAS dalam kerajaan negeri Selangor.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata Presiden Amanah itu tidak sesuai dengan budaya orang Selangor.

“Saya rasa rekod dan latar belakang dia tak sesuai dengan budaya orang Selangor. Kita boleh lihat dia bercakap, bukan personaliti yang baik untuk bawa masa depan yang baik,” kata Nadzari.

Mohamad bagaimanapun menganggap kenyataan Nadzari itu menunjukkan ketakutan Umno apabila mendengar cadangan beliau akan bertanding di Selangor.

Beliau juga berkata isu beliau bukan anak jati Selangor juga tidak timbul.

“Kebanyakan orang luar dari Selangor datang ke negeri ini untuk bekerja dan menetap di sini. Terdapat pemimpin yang bukan anak jati Selangor.

“Tetapi mereka ini dipilih rakyat dalam pilihan raya lepas seperti Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang berasal dari Johor, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula berasal dari Melaka,” katanya.

Mat Sabu pernah menjadi ahli Parlimen pada 1990 apabila memenangi kerusi Nilam Puri. Beliau seterusnya menang di Parlimen Kubang Kerian (1995) dan Kuala Kedah (1999).

Mohamad bagaimanapun gagal mempertahankan kerusinya pada 2004 dan kalah dalam PRU 2008 dan 2013, di Kuala Terengganu dan Pendang.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *