Mangsa tragedi banjir kilat Lembah Bertam perlu pembelaan sewajarnya kata peguam

TANAH RATA: Penduduk Lembah Bertam yang menjadi mangsa tragedi banjir kilat akibat pelepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar perlu mendapat pembelaan sewajarnya kata peguam, M. Manogaran.

Dalam kejadian tersebut, air daripada empangan yang diselenggarakan Tenaga Nasional Berhad itu didakwa telah dilepaskan tanpa amaran awal dengan kuantiti yang banyak, lapor RoketKini.

Ia telah menyebabkan aliran sungai melimpah dan mengakibatkan kerosakan harta benda, kediaman serta kenderaan penduduk. Tragedi itu telah menyebabkan empat kematian dan kira-kira 80 buah rumah mengalami kerosakan.

M. Manogaran memperkatakan sesuatu kepada penduduk di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Ekoran itu, pada November 2015 lalu, 100 penduduk telah memfailkan saman sebanyak RM2 juta ke atas Tenaga Nasional Berhad sebagai tuntutan ganti rugi.

Menurut Manogaran, perbicaraan pertama telah pun didengar pada 30 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimana pihak plaintif telah mengemukakan empat saksi.

“Kes ini akan didengar semula pada 20 dan 21 November 2017,” katanya yang juga Pengerusi DAP Bandar Tanah Rata.

Bekas calon DAP Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum ke-13 menjelaskan, pihaknya telah mengambil masa satu setengah tahun sebelum ia dibicarakan.

“Seseorang perlu bertanggungjawab ke atas kerosakan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk,” katanya.

Manogaran menjelaskan, kebanyakan penduduk yang terjejas terdiri dari kumpulan berpendapatan minimum dan tidak mampu menampung kerugian besar yang dialami.

“Kebanyakan mereka adalah penduduk miskin dengan pendapatan yang minima. Mereka tidak mampu tanggung kerugian yang besar dari simpanan seumur hidup mereka. Ada juga yang telah meninggal dunia akibat kejadian itu,” kata beliau.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *