Apa lagi selepas dobi hanya untuk orang Islam, Mufti Perlis tegur kejahilan umat Islam

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membidas tindakan sebuah kedai dobi di Johor melarang orang bukan Islam daripada mencuci pakaian mereka di situ, dan berkata sebahagian daripada pandangan sempit yang tiada kaitan dengan Islam.

“Saya bimbang nanti akan ada yang menggesa supaya orang Islam tidak boleh guna duit yang telah digunakan oleh orang bukan Islam,” kata Asri kepada FMT, mengulas kontroversi sebuah kedai dobi layan diri di Muar, Johor yang melaksanakan dasar “mesra Muslim”.

Asri berkata salah anggap mengenai hukum kebersihan dalam Islam akan menyebabkan pelbagai lagi masalah.

“Ini sebab mereka membuat andaian mungkin ada najis semasa duit itu beredar dari tangan ke tangan. Nanti anggap solat tak sah sesiapa yang ada duit dalam poket. Lepas itu, kena asing pula bekas makan bukan Muslim di restoran. Takut nanti ada kesan khinzir di mulut mereka,” katanya.

Gambar papan tanda kedai dobi Elit Laundry di Muar dengan papan tanda memaklumkan hanya menerima pelanggan Islam tular di media sosial baru-baru ini dan mengundang pelbagai reaksi.

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin tampak mempertahankan dasar itu, seperti dilaporkan Harian Metro.

“Kebersihan menjadi keutamaan kepada umat Islam,” kata mufti itu dipetik akhbar berkenaan, sambil menambah ia tidak sepatutnya menimbulkan persepsi buruk di kalangan bukan Islam.

Asri bagaimanapun mengajak umat Islam memilih pandangan fekah yang lebih mudah dan praktikal seperti mana dikehendaki Islam.

“Selagi najis itu tidak zahir secara jelas, jangan kita suka membuat pelbagai andaian.”

Asri berkata fekah bertujuan memudahkan kehidupan.

“Islam itu agama yang hidup dan beraksi dengan persekitaran secara seimbang.
Fekah itu ke arah memudahkan bukan menyusahkan. Saya nasihat umat Islam, jika asal sesuatu bahan itu bersih, tidak zahir padanya najis samada dari segi warna, bau ataupun rasa, maka ia dikira bersih.

“Semua andaian yang berlebihan sehingga menyusahkan kehidupan bukan dari ajaran Nabi Muhammad yang mudah dan memudahkan kehidupan manusia,” kata Asri.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *