Wewenang halang pemimpin Pakatan Harapan, kuasa Imigresen ke atas Sabah Sarawak perlu dikaji semula

Kuasa imigresen yang dimiliki oleh Sabah dan Sarawak kembali menjadi perbualan hangat apabila beberapa pemimpin Pakatan Harapan dihalang memasuki Sarawak semalam.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dihalang sebaik tiba di Miri, manakala Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling diusir keluar meninggalkan Sarawak ketika sedang menghadiri program anjuran PKR, juga di Miri.

Berikutan kebimbangan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang dijadualkan terbang ke Miri malam semalam telah membatalkan penerbangannya di saat-saat akhir kerana bimbang akan menerima nasib yang sama.

Dalam waktu yang sama, hari ini Tun Mahathir Mohamad buat pertama kalinya akan menjejakkan kakinya ke Sarawak atas kapasitinya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

Meskipun Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Haji Openg memberi jaminan bahawa Tun Mahathir akan dibenarkan masuk kerana katanya bekas Perdana Menteri itu bukan seorang pelampau serta tidak memberi ancaman, tetapi tentulah kebenaran itu bukan sesuatu yang kekal buat selama-lamanya.

Kiranya program Tun Mahathir di Kuching hari ini mendapat sambutan hangat dan beribu-ribu rakyat negeri itu menghadirinya, kemudian beliau datang lagi untuk beberapa kali, kalau pun Abang Johari masih boleh bersikap terbuka, ia tentulah akan menimbulkan kebimbangan kepada Najib Razak yang akhirnya akan berbisik kepada Ketua Menteri agar segera menggunakan kuasa menyekat kemasukan Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Menghalang kemasukan beberapa pemimpin pembangkang ke Sarawak bukanlah perkara asing sejak kebelakangan ini. Pada pilihanraya negeri yang lalu, sederetan pemimpin Pakatan Harapan dihalang atas alasan kehadiran mereka mengancam keharmonian rakyat Sarawak.

Di mana logiknya kedatangan semasa kempen pilihanraya didakwa mengancam keharmonian rakyat?

Bukankah pilihanraya dan berkempen merupakan suatu proses yang dibenarkan dalam undang-undang negara dan tidak ada sesiapa sepatutnya dihalang daripada menyertainya kerana Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia?

Semua orang sedar kuasa imigresen kepada Sabah dan Sarawak adalah perjanjian yang memang termaktub ketika pembentukan Malaysia dahulu. Ia mungkin sesuai pada ketika awal penyatuan dahulu, tetapi yang menjadi isu sekarang ialah ia cenderung disalahgunakan untuk kepentingan politik dan sekatan yang dibuat juga semata-mata atas pertimbangan politik.

Sebagai sebahagian daripada Malaysia dan rakyat Malaysia Timur ketika ini sudah matang serta ramai yang berpendidikan, telah tiba waktunya kuasa imigresen itu dikaji semula dengan suatu kelonggaran yang munasabah, kalau pun tidak dihapuskan sama-sekali.

Beri kebebasan kepada sesiapa saja untuk datang ke Sabah dan Sarawak tanpa sekatan, terutama ketika musim kempen pilihanraya atau menghadiri program parti.

Sekatan mungkin boleh dilakukan kepada individu yang dikenalpasti sebagai pengganas atau pelampau kaum dan agama yang tegar.

Di mana demokrasi dan keterbukaan suatu tamadun jika sekatan ketika pilihanraya masih wujud di alaf ini?

Di mana logiknya juga kita sesama rakyat Malaysia, tetapi masih wujud sekatan atau halangan untuk masuk ke negeri-negeri tertentu?

Jika keselamatan dan keharmonian yang dibimbangi, bukankah negara ada undang-undang lain seperti Akta Hasutan, OSA, kuasa polis dan sebagainya yang boleh dikuatkuasakan kepada mereka yang dilihat mendatangkan ancaman?

Selain itu, dengan mewujudkan kebebasan keluar masuk antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung, ia secara tidak langsung akan memantapkan lagi intergrasi nasional yang menjadi impian dan sebutan semua pemimpin selama ini.

Keadaannya sekarang jelas tidak memberi keadilan melalui kuasa imigresen tersebut. Ini kerana hanya penduduk Semenanjung boleh dihalang daripada memasuki Sabah dan Sarawak, tetapi rakyat kedua-dua negeri tersebut boleh bebas keluar masuk ke Semenjung tanpa sebarang halangan.

Demi masa depan Malaysia yang lebih baik, perubahan harus segera dilakukan. Ternampak mustahil untuk mengharapkan Najib dan BN ada keberanian melakukan perubahan itu.

Perubahan ini mesti dilakukan oleh Pakatan Harapan. Seiring dengan janji Pakatan Harapan untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri mewakili Sabah dan Sarawak selepas memenangi PRU 14 akan datang, ia akan lebih mantap jika diiringi dengan kesediaan mengkaji semula kuasa imigresen tersebut.

Kuasa imigresen ini jika dikaji semula, seterusnya dapat dilonggarkan pada tahap yang munasabah atau dihapuskan sama-sekali, adalah suatu kemenangan untuk semua rakyat Malaysia.

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisa politik semasa I 25 September 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *