Tok Guru Nik Aziz bersemangat walaupun sakit kanser, kata doktor peribadi

GEORGE TOWN: Seorang pakar perubatan peribadi kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkongsi tahun-tahun terakhir hayat tokoh Pas itu. Dr Azhar Amir Hamzah, dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan berkata Nik Aziz meninggalkan kesan mendalam pada dirinya.

“Beliau seperti seorang bapa. Beliau layan saya seperti anaknya. Saya menangis setiap kali terkenangnya,” kata Azhar kepada pemberita selepas menerima anugerah Tokoh Perubatan daripada Persatuan Melayu Pulau Pinang sempena Maal Hijrah 22 September lalu.

Azhar pertama kali bertemu Nik Aziz di Hospital Kubang Kerian pada 2005, apabila Nik Aziz dikesan mengalami kanser prostat tahap IV. Beliau berkata kanser Nik Aziz dikesan pada 1995, dan reda tidak lama kemudian.

Memandangkan beliau satu-satunya pakar urologi di hospital itu, Nik Aziz berbincang dengan pengurusan hospital untuk membenarkan Azhar merawatnya di mana sahaja beliau berada.

“Walaupun mengalami kanser, beliau sangat aktif dan bertenaga. Beliau kembali bekerja seperti biasa setiap hari dan penuh semangat. Malah menuju penghujung hayat, beliau masih bertemu rakyat walaupun terpaksa membawa beg urin.

“Apabila kami nasihatkan beliau supaya jangan memenatkan diri, beliau berkata, dalam kehidupan ini kita sekadar meminjam dari Tuhan, jadi kita mesti melakukan yang terbaik. Ini amanah saya dan kamu juga ada amanah kamu sendiri,” kata Azhar.

Beliau berkata Nik Aziz tidak skeptikal dengan pembedahan, kemoterapi dan rawatan perubatan moden lain, bukan seperti kebanyakan orang Kelantan.

Beliau berkata kebanyakan orang Kelantan takut dibedah dan akan merayu “tak nak bedah”, tetapi Nik Aziz pula berkata “Kita usahakan”.

Doktor itu berkata walaupun dirinya mengasihi Nik Aziz, beliau cuba menjalankan tugas secara profesional dengan tidak menonjolkan dirinya.

Azhar berkata tiada siapa tahu beliau pakar perubatan peribadi Nik Aziz kerana beliau memastikan pemeriksaan diilakukan di hospital yang kurang sesak atau swasta.

“Contohnya, kami ambil penerbangan paling awal dari Kota Bharu untuk imbasan PET swasta di Kuala Lumpur.

“Walaupun beliau bukan seseorang yang terlalu tekankan protokol, saya mesti berikan beliau masa peribadi sebagai seorang pesakit,” katanya.

Azhar juga memberitahu beliau melakukan feloship dalam bidang uro-onkologi di Australia semasa keadaan Nik Aziz bertukar kritikal pada 2015.

“Saya ambil penerbangan seterusnya dan memegang tangannya pada waktu-waktu terakhir. Beliau genggam tangan saya buat seketika dan kemudian melepaskan saya,” katanya.

Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari 2015 pada usia 84 tahun. Beliau meninggalkan isteri dan 10 orang anak.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *