Pakatan Harapan janjikan jawatan Timbalan Perdana Mentari untuk Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) berjanji akan mewujudkan kerusi Timbalan Perdana Menteri kedua khusus untuk Sabah dan Sarawak sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi PH Sabah, Christina Liew berkata jawatan itu akan membolehkan perwakilan lebih baik bagi kedua-dua negeri Borneo di peringkat Persekutuan.

Ketika ditanya apakah negeri-negeri itu boleh mempunyai seseorang dari wilayah itu sebagai Perdana Menteri Malaysia kelak, beliau berkata: “Kita boleh mencadangkan untuk memberi jawatan Perdana Menteri juga, jika itu adalah sentimen rakyat Sabah yang ingin melihat gambaran sebenar persamaan di bawah Perjanjian Malaysia 1963.”

“Tetapi menurut Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri mestilah seorang pemimpin sebuah parti atau gabungan yang menikmati majoriti terbesar di Dewan Rakyat.”

Beliau yang juga Pengerusi PKR negeri bercakap pada sidang akhbar selepas pelancaran Manifesto PH untuk Sabah di sini Jumaat lalu. Turut hadir Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, lapor FMT.

Manifesto itu termasuk janji untuk mengembalikan 50% pendapatan persekutuan yang dikutip dari Sabah kembali ke negeri itu dan, mengkaji semula dan bertindak atas cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.

Ia juga memberi jaminan kerajaan PH akan membersihkan daftar pemilih dan meletakkan penekanan terhadap pendidikan di Sabah.

Christina berkata manifesto PH lebih kukuh dan tepat dalam menangani keperluan dan aspirasi rakyat Sabah berbanding manifesto Pakatan Rakyat semasa PRU13.

Beliau berkata manifesto baharu yang digelar “Janji Baharu PH Bagi Sabah dan Sarawak” mengambil kira fakta bahawa penduduk Sabah dan Sarawak ketinggalan dalam banyak bidang berbanding penduduk di Semenanjung Malaysia.

Manifesto itu akan menjadi sebahagian daripada manifesto PH untuk seluruh negara, katanya.

“Ini hanya peringkat pertama pelancaran manifesto kami. Manifesto penuh hanya akan diumumkan selepas Parlimen dibubarkan kerana jika kita mendedahkan semuanya sekarang, orang lain mungkin meniru kita.”

Beliau berkata, 5 isu utama yang terkandung dalam manifesto untuk Sabah ialah hak tadbir serantau, hak minyak dan gas yang adil, infrastruktur dan pembangunan perindustrian, pendidikan dan pembangunan sumber manusia.

Beliau juga memberi jaminan reformasi struktur dan tadbir urus yang baik berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beberapa janji yang dibuat dalam manifesto 2013 akan kekal dalam manifesto baharu dengan lebih banyak lagi pada kali ini, terutamanya berkaitan dengan peningkatan permintaan orang untuk lebih banyak hak sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *