Pakatan Harapan janji semak Perjanjian Malaysia jika menang PRU14 kata Tun Mahathir

KUCING: Pakatan Harapan (PH) malam ini berjanji kepada Sarawak dan Sabah yang ia akan menyemak kembali Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan melakukan rundingan semula supaya ia adil dan saksama kepada semua, menjelang pilihan raya umum yang dijangka berlaku pada Ogos 2018.

Dalam kemeriahan sorakan “Hidup Tun” daripada hampir 2,000 khalayak yang meredah hujan ribut malam hari bandaraya Kuching, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata apa yang diperlukan adalah syarat yang saksama untuk tiga kawasan yang bersetuju membentuk Malaysia- Sabah, Sarawak dan Malaya.

Dr Mahathir mengatakan Kerajaan Persekutuan sebelum dan selepasnya melanggar MA63 melalui Parlimen yang mempunyai majoriti ahli Malaya untuk memungkiri apa yang telah dipersetujui, lapor TMI.

Ahli politik itu yang merupakan Perdana Menteri Malaysia paling lama berkuasa dari 1981 hingga 2003 berkata tidak pernah wujud rundingan sebelum ini tentang apa yang Sabah dan Sarawak mahukan.

“Parlimen adalah kuasa mereka (kerajaan Persekutuan). Sudah tentu di Parlimen, wakil rakyat Sabah dan Sarawak sedikit,” katanya merujuk kepada Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).

Akta Pelantar Benua mengurangkan sempadan laut Sarawak dan Sabah daripada 13 kepada 3 batu sementara PDA menyerahkan semua kerja penerokaan dan cari gali petroleum – darat dan pesisir pantai – kepada Petronas walaupun hak melombong diberikan kepada negeri mengikut MA63.

Kedua-dua negeri sudah lama mendakwa kedua-dua undang-undang itu direka untuk menjarah kekayaan minyak dan gas mereka.

“Tidak pernah ada rundingan,” katanya kepada khalayak yang dianggarkan berjumlah 2,000 orang di Taman BDC – kubu kuat DAP. Kawasan itu berada dalam kawasan Parlimen Stampin.

“Hanya diperdebatkan dan diluluskan tanpa mempertimbangkan perasaan rakyat Sarawak dan Sabah. Kita diperintah Parlimen yang (jumlah) ahlinya dari Malaya jauh mengatasi mereka yang datang dari Sarawak dan Sabah,” katanya.

Parlimen mempunyai 222 kerusi tetapi hanya 56 berada di dua negeri Borneo itu, 31 di Sarawak dan 25 di Sabah.

Dr Mahathir mengatakan MA63 akan dirunding semula sekiranya PH berkuasa, “ketika itu barulah adil”.

“Kami akan menyemak kembali perjanjian itu kerana kami tahu rakyat tidak gembira mengenainya.

Dr Mahathir juga menafikan beliau meluluskan PDA sebagai mana dakwaan sesetengah ahli politik Barisan Nasional.

“Saya dituduh. Saya bukan perdana menteri ketika itu. Perdana Menteri yang meluluskan PDA adalah Tun Razak, ayah Najib.”

Dr Mahathir juga mengatakan yang PH akan memberikan hak kepada Sarawak dan Sabah untuk menentukan sistem pendidikan yang mereka mahukan seperti termaktub dalam MA63.

Katanya, kedua-dua negeri mempunyai hak untuk sistem pendidikan mereka sendiri.

Sarawak sudah lama menuntut bahasa perantara di sekolah menggunakan Bahasa Inggeris tanpa mengetepikan Bahasa Malaysia.

Ceramah ini adalah lawatan kali pertama Dr Mahathir ke Sarawak selepas menyertai pembangkang dalam kempen mereka untuk menyingkirkan Najib.

Beliau masih dipandang tinggi oleh pengundi lama yang “membesar” dalam pentadbirannya selama 22 tahun ketika beliau menjadi perdana menteri.

Pembangkang hanya memegang enam kerusi daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak, semuanya adalah kerusi terletak di kawasan bandar dengan majoriti pengundi Cina – Bandar Kuching, Stampin, Bandar Sibu, Lanang, Sarikei dan Miri.

Miri dipegang PKR, DAP menguasai selebihnya.

Kawasan pendalaman dan pinggir bandar Dayak masih dalam genggaman BN dan tiada petunjuk wujud bahawa Dr Mahathir yang sudah berusia 92 tahun atau pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang yang juga sudah berusia merancang untuk ke kawasan pendalaman.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *