Najib patut tubuh ‘RCI-mini’ siasat skandal US$1 juta libatkan Mat Taib tahun 1996

KUALA LUMPUR: Memandangkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersungguh-sungguh menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) skandal forex yang berlaku 30 tahun lalu, beliau juga dicadang supaya menyiasat skandal beg berisi duit bernilai US$1 juta melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhamad Taib.

Muhammad Taib ditahan di lapangan terbang Brisbane pada Disember 1996 kerana membawa bersamanya matawang Singapura, New Zealand dan Ringgit Malaysia bernilai US$1 juta, berdasarkan kadar tukaran ketika itu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, ‘RCI-mini’ tersebut bertujuan untuk menyiasat sumber dana itu serta sama ada cukai yang dibayarnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkadaran dengan wang yang dibawa ke Brisbane.

Ia juga kata Lip Eng bagi mendapatkan kepastian mengapa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghentikan siasatan serta pengakuannya tidak boleh berbahasa Inggeris ketika ditahan di Australia yang mengakibatkannya tidak faham undang-undang Australia.

“Meski beliau dibebaskan pihak berkuasa Australia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri waktu itu berkata bahawa beliau tidak tahu dari mana Muhammad Taib mendapatkan wang tersebut.

“Pada waktu itu juga, Muhammad Taib turut disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan beg berisi wang itu. Beliau bagaimana pun tidak pernah didakwa oleh BPR dan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu, tindakan beliau melompat ke parti pembangkang dan kemudiannya kembali kepada UMNO jelas menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri.

“Melihat bagaimana pemimpin UMNO menyambutnya bagai sirih pulang ke gagang menunjukkan bagaimana orang seperti ini memang selayaknya duduk bersama.

“Benar bukan, hanya pencuri yang mengenal penyamun?” katanya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *