Pemuda AMANAH Perak sokong tubuh dan bantu pusat tahfiz patuhi piawaian keselamatan

IPOH: Pemuda AMANAH Negeri Perak menyambut baik usaha Kerajaan Negeri mahupun pihak-pihak lain membuka pusat tahfiz bagi melahirkan generasi celik al-Quran dan berpengetahuan luas dalam bidang agama.

Namun demikian, kerajaan negeri perlu mempunyai perancangan khusus dan efisyen dalam mengurus pusat-pusat tahfiz khususnya pusat tahfiz yang dibina oleh pihak persendirian.

Ini termasuk memastikan kesemua pusat-pusat tahfiz ini didaftar agar kesemua institusi itu menepati syarat dan piawaian yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini sangat penting dalam menyelaraskan semua aspek termasuklah dari sudut pentadbiran mahupun silibus pembelajaran,” kata Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri, Muhammad Faeez Azahar.

Muhammad Faeez Azahar, Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri

Dalam satu kenyataannya kepada Amanahdaily beliau berkata, Kerajaan Perak mengumumkan untuk membina enam buah sekolah tahfiz moden di Perak pada tahun 2015 namun pihaknya tidak mengetahui sama ada kesemua rancangan pembinaan tersebut telah selesai sepenuhnya.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri melalui agensi yang terbabit perlu memastikan infrastruktur kesemua pusat tahfiz menepati spesifikasi yang ditetapkan.

“Pihak yang terlibat termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat perlulah memainkan peranan untuk memastikan aspek keselamatan berada di tahap yang sewajarnya selari dengan tahap keselamatan di institusi kerajaan yang telah diluluskan,” katanya.

Pemuda AMANAH Perak juga berharap beberapa agensi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri termasuk Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) dapat menjalankan peranan mereka, bukan semata-mata mempromosikan program-program melibatkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Kami mendapati yayasan ini lebih memfokuskan kepada program yang bersifat ‘one off’ daripada memikirkan perancangan yang lebih besar dan bermanfaat.

“Yayasan ini perlu lebih berperanan melalui dana yang disalurkan oleh pihak kerajaan kepada mereka dengan membantu institusi agama di negeri ini termasuklah pusat-pusat tahfiz.

“Penyaluran dana daripada pihak kerajaan serta pemberian aset kepada yayasan ini perlulah dinikmati oleh rakyat terutama umat Islam di negeri ini,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *