Nufam bimbang MAS sibuk ‘beli-belah’ akan cetus lebih banyak masalah kewangan, tidak mampu bertahan

KUALA LUMPUR: Badan kakitangan industri penerbangan, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), bimbang rancangan Malaysia Airlines untuk membeli pesawat penumpang tambahan akan membawa kepada lebih banyak masalah kewangan kerana syarikat itu mungkin tidak mampu bertahan dengan perbelanjaan overhednya.

“Membeli pesawat baharu tidak menjamin syarikat penerbangan itu akan berjaya jika perbelanjaan overhednya dilihat tidak terurus,” kata Setiausaha Agung Mohd Akram dalam satu kenyataannya.

“Lebih banyak pesawat bermakna laluan baharu dan lebih banyak pekerja…Kita seperti kembali ke masa apabila MAS didakwa terlebih pekerja. Syarikat penerbangan itu terpaksa membuang 6,000 pekerja 2 tahun lalu.

“Tidak sampai 3 tahun selepas pengurangan tenaga kerja dilakukan dan kini mereka berbelanja lebih untuk membeli lebih banyak pesawat,” katanya sambil menambah, ribuan pekerja derita akibat masalah kewangan dan dakwaan salah urus syarikat itu.

Beliau berkata pekerja Malaysia Airlines mengadu tentang kekurangan tenaga manusia walaupun terdapat kenaikan gaji dan elaun dalam 3 tahun kebelakangan ini, tetapi syarikat penerbangan itu pula sibuk “membeli-belah” pesawat baharu.

Beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertemu kakitangan syarikat itu sendiri, bukannya mendapatkan satu sisi cerita sahaja.

“Kerajaan perlu mendengar masalah pekerja juga, bukannya melakukan apa yang dirasakan betul dengan tergesa-gesa,” katanya.

Beliau juga mempersoal jika Malaysia Airlines sudah menjana keuntungan selepas kerajaan menyuntik RM6 bilion ke syarikat itu.

Najib pada 12 September memberitahu Trump, MAS akan membeli 25 pesawat Boeing 737 dan 8 pesawat 787 Dreamliners dan mungkin akan membeli 25 lagi pesawat 737 pada masa depan.

Tawaran itu katanya bernilai lebih AS$10 bilion (RM42 bilion) dalam 5 tahun.
Akram bagaimanapun menyoal ke manakah destinasi pesawat itu kerana badan itu tidak dengar tentang sebarang destinasi atau laluan baharu untuk pesawat itu.

Beliau menambah, terdapat juga faktor lain seperti kos penyelenggaraan pesawat baharu yang mahal.

“Walaupun ianya perkara baik untuk melihat Malaysia Airlines bangkit semula, tetapi seperti yang dikatakan, terlalu awal untuk mencurah air dalam tempayan walaupun guruh baru berdentum,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Peter Bellew dipetik Bloomberg hari ini, berkata, syarikat penerbangan itu masih berminat untuk membeli pesawat A330neo Airbus yang dipertingkat.

Bellew pernah berkata pada Mac lalu yang beliau berminat untuk membeli 25 ke 30 buah A330 atau 787 untuk dihantar antara 2019 dan 2023.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *