‘Bunga mas’ Najib kepada Trump rugikan Malaysia, gagal fahami realti ekonomi rakyat negara ini

Perdana Menteri Najib Razak cuba berhujah bahawa lawatannya ke Rumah Putih adalah satu kejayaan dan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang baik. Bagaimanapun, hujah beliau tidak dipersetujui oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Di sebalik semua ini adalah mentaliti Najib bahawa “Cash is King” atau “wang adalah segala-galanya” serta kegagalan Najib untuk memahami realiti ekonomi rakyat Malaysia hari ini.

Najib tidak tahu cara lain mentadbir dan memimpin negara selain menawarkan wang dan ganjaran untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Masalahnya, ia bukan wang beliau tapi wang rakyat Malaysia yang membayar cukai.

Hal ini dilanjutkan oleh Najib sehingga ke peringkat antarabangsa dengan menawarkan kepada Presiden Donald Trump untuk “membantu mengukuhkan ekonomi AS”, tindakan yang membuat ramai rakyat biasa Malaysia bengang.

Najib enggan memahami bahawa rakyat Malaysia terjejas akibat kesan keseluruhan daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan sejak April 2015, kejatuhan 30 peratus nilai ringgit sejak Oktober 2014, dan pemansuhan subsidi perkhidmatan asas seperti kesihatan sejak pilihanraya umum 2013.

Bagi kebanyakan rakyat biasa, apa yang digelar Najibnomics hanya bererti kesusahan. Namun, segala keluhan yang dikemukakan sejak 2015 diabaikan oleh Najib dan Kabinet beliau.

Keluhan masyarakat umum terhadap tawaran bunga mas Najib di Rumah Putih dapat didengar daripada pelbagai lapisan dan kaum. Keluhan itu perlu difahami dari konteks kebimbangan dan kepayahan ekonomi yang dihadapi golongan biasa di Malaysia.

Jangan kita lupa bahawa bunga mas adalah ufti sebagai tanda tunduk dan patuh, yang selalunya diberikan oleh negara kecil kepada kuasa besar untuk mendapatkan perlindungan. Harga yang perlu dibayar oleh negara kecil termasuklah bersetuju dengan dasar-dasar kuasa besar selain menghantar bantuan kenteraan dalam peperangan yang melibatkan kuasa besar itu.

Bunga mas adalah sebahagian daripada sejarah negara kita. Hari ini kita sudah merdeka.

Malangnya, tiga tawaran Najib ketika menemui Presiden Trump – AS$10 bilion untuk pembelian kapal terbang Boeing, pelaburan AS$4 bilion Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam infratsruktur AS (selain pelaburan AS$7 bilion sedia ada) dan peningkatan pelaburan Khazanah Nasional di Silicon Valley, California – lebih banyak membantu AS berbanding memberi manfaat kepada Malaysia.

PERTAMA, industri penerbangan di seluruh dunia berhadapan dengan situasi perniagaan yang mencabar dengan saingan sengit. Tidak banyak syarikat penerbangan yang melabur dalam pembelian kapal terbang baru kerana mereka mahu mengelak terbeban dalam memastikan hasil pendapatan lebih tinggi di masa depan dan hutang yang berlebihan.

Selain itu, Malaysia Airlines (MAS) tidak membuat keuntungan besar untuk bersedia terlibat dalam pelaburan semula yang tinggi seperti itu. MAS hari ini tidak sama dengan MAS yang dulu. MAS yang wujud hari ini adalah hasil penstrukturan semula pada 2015 oleh Khazanah dengan suntikan modal RM6 bilion. Salah satu tujuan penstrukturan semula itu adalah untuk memberhentikan kerja 6,000 kakitangan warga Malaysia.

Kini Najib membantu Boeing, sebuah syarikat Amerika, untuk membayar gaji kakitangan mereka melalui urus niaga yang melibatkan dana yang besar. MAS semestinya tidak mampu membayar urus niaga dengan Boeing itu. Jadi siapa yang akan bayar? Adakah duit cukai rakyat Malaysia yang disalurkan melalui kerajaan atau Khazanah Nasional Berhad?

KEDUA, Najib berhujah bahawa pelaburan KWSP dan Khazanah dalam pasaran asing adalah untuk menjana pendapatan dari luar kerana pendapatan dalam negara terlalu rendah.

Kita mungkin tidak boleh menyalahkan pengurus-pengurus GLC dan GLIC kerana memilih melabur di luar negara untuk mencapai KPI mereka dalam menjana pulangan modal. Namun, adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Kewangan untuk mengukuhkan ekonomi domestik.

Jika pakar strategi pelaburan kerajaan sendiri mendapati bahawa melabur di Malaysia tidak memberi pulangan, apa alasan pelabur asing mahu melabur di negara kita? Inilah masalah ekonomi Malaysia; pertumbuhan yang perlahan dan prospek yang suram, perspektif yang turut dipersetujui entiti pelaburan kerajaan sendiri.

Pada 2009, KWSP mempunyai enam peratus pelaburan antarabangsa namun jumlah itu meningkat kepada 20 hingga 24 peratus tiga atau empat tahun kemudian. Kini ia menghampiri 30 peratus (ketika ini berada pada kadar 29 peratus), sementara KWSP pula bakal meningkatkan lagi jumlah keseluruhan.

Sementara pelaburan luar negara berada pada kadar 29 peratus, ia menjana 39% pulangan kasar pelaburan KWSP (sumber: The Star, 21 Februari 2017). 44 peratus portfolio pelaburan Khazanah merangkumi aset luar negara pada 2015. Sedekad sebelum itu, pelaburan luar hampir tidak wujud.

KETIGA, bagi rakyat Malaysia yang harus melangsungkan kehidupan dengan bekerja di Singapura, malah ada yang bekerja tanpa visa di luar negara, sangat menyakitkan hati apabila Najib mahu membantu mengukuhkan ekonomi Amerika berbanding negara sendiri.

Lima tahun lalu, lebih kurang 200,000 rakyat Malaysia menyeberang Tambak Johor setiap hari untuk bekerja di Singapura. Hari ini, jumlah itu meningkat kepada 300,000. Kerajaan Najib telah mengecewakan mereka.

Kita seharusnya melabur dalam bidang-bidang baru yang lebih berpotensi, terutama di sektor teknologi tinggi agar masa depan generasi muda Malaysia lebih terjamin. Bunga mas Najib kepada AS hanya menjejaskan lagi nilai ringgit dan menambah kesukaran kepada generasi muda Malaysia untuk tinggal dan memiliki pekerjaan di tanah air pada masa depan.

Najib membayangkan lawatannya ke AS sebagai kejayaan. Hal ini tidak benar dan kebanyakan rakyat Malaysia tahu kenapa. “Cash is King” tidak sentiasa berkesan, dan jika rakyat menderita ia boleh dilihat sebagai penghinaan kepada mereka. Kegagalan Najib memahami realiti ekonomi rakyat biasa Malaysia akan jadi punca kejatuhan beliau. – Roketkini.com

>> Komentar bebas Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang, Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan dan Pengerusi DAP Johor I 20 September 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *