AMANAH bantu pengusaha IKS guna kaedah baru pasarkan produk keluaran mereka

KOTA BHARU: Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya pengeluar makanan ringan perlu meneroka pasaran global dengan menggunakan teknik-teknik baru yang kini sedang berkembang pesat.

Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang mengadakan lawatan ke kawasan industri keropok di Tumpat semalam berkata pihaknya akan membantu menjayakan usaha ini.

“Dengan kemunculan kaedah pemasaran baru melalui teknologi dalam talian dan courier services yang semakin mesra pengguna, para pengeluar perlu menggunakan sepenuhnya perkembangan ini.

“Produk kita sebenarnya bertaraf antarabangsa dan mampu dipasarkan di luar negara. Semuanya bergantung kepada kesungguhan dan kerjasama bagi memastikan kejayaan,” katanya.

Menurutnya, AMANAH akan menyelenggarakan latihan dan pendedahan kepada para pengeluar industri bagi menguasai ilmu pemasaran terkini.

“Saya akan berbincang dengan Pemuda AMANAH yang kini sedang menggerakkan program AMANAH Agro dan AMANAH Eco.

“Kita terus menggerakkan program-program ini walaupun belum mentadbir negeri dan akan dikembangkan bila mendapat rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 nanti,” katanya.

Dalam lawatan yang diselenggara oleh Penyelia AMANAH Dun Kelaboran, Nik Faizah Othman itu, Wan Rahim mengadakan pertemuan dengan beberapa kumpulan yang terlibat dengan industri keropok.

Dalam majlis perjumpaan dengan lebih 50 pekerja beliau mahu mereka menunjukkan sikap berani untuk berubah.

“Kita tidak harus berdiam diri membiarkan mereka yang tidak amanah membuat dasar-dasar yang menyusahkan rakyat.

“Dengan harga barang tinggi melambung sedangkan pendapatan tidak berubah tentulah menyebabkan kesulitan luar biasa kepada golongan bawahan.

“Kali ini kita mahu menyerahkan pentadbiran kepada pihak yang akan menghapuskan GST, menurunkan harga minyak, menyediakan pendidikan percuma dan memastikan kebajikan rakyat terbela,” katanya.

Beliau turut menyelar sikap berdiam diri kerajaan negeri dalam menghadapi penindasan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Mereka bukan sahaja tidak mengambil apa-apa tindakan untuk meringankan beban rakyat akibat angkara BN malah turut menaikkan pelbagai cukai di peringkat negeri khususnya dalam hal ehwal pentadbiran tanah,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *