Pemuda AMANAH dakwa Najib sibuk bantu kukuhkan ekonomi Amerika, rakyat terus tanggung derita

Disaat Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak sibuk untuk membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat, rakyat Malaysia terus dihimpit dengan kenaikan kos kehidupan kesan daripada ketidakstabilan ekonomi negara. Minggu ini, harga petroleum RON95 dan RON97 terus menunjukkan trend menaik sejak 11 minggu yang lalu.

Harga runcit baru RON95 naik 1 sen kepada RM2.21 seliter manakala RON97 ditetapkan dengan RM2.52 seliter iaitu 4 sen lebih mahal daripada minggu lalu. Kenaikan setiap minggu ini sudah pasti memberi kesan besar kepada masyarakat yang terpaksa menanggung peningkatan kos kehidupan seharian.

Pemuda AMANAH Nasional menasihatkan Najib Razak agar menumpukan usaha menstabilkan ekonomi negara dan mengurangkan bebanan rakyat di dalam negara ini. Tidak perlu tunjuk pandai untuk membantu negara lain sedangkan negara sendiri dalam keadaan yang sangat mendukacitakan.

Rakyat tidak melihat ‘kesudian’ Najib membantu menstabilkan ekonomi kuasa besar Amerika Syarikat itu satu kebanggaan. Ia hanya satu hipokrasi yang ditunjukkan oleh Najib kepada dunia dalam keadaan Malaysia menghadapi pelbagai permasalahan dan skandal yang masih menjadi persoalan besar.

Rakyat terus dijerut dengan cukai GST, dalam masa yang sama pendapatan perkapita rakyat masih tidak meningkat. Cukai GST serta peningkatan harga minyak dalam tempoh yang panjang ini telah menyebabkan pelbagai kos meningkat yang akhirnya ditanggung oleh rakyat. Permasalahan ini masih gagal dinatijahkan oleh Najib dan kepimpinan negara.

Bagi rakyat, Najib Razak lebih mementingkan populariti berbanding menyelesaikan permasalahan rakyat terbanyak. Pertemuan yang diusahakan ini hanya untuk membersihkan nama beliau yang sedang kotor di seluruh dunia akibat skandal 1MDB.

Pertemuan singkat antara Najib Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilihat tidak memberi manfaat kepada rakyat sebaliknya menambahkan lagi bebanan dan tekanan terhadap negara. Pertemuan yang bersifat populis itu tidak membawa sinar baharu kepada negara, sebaliknya menambahkan lagi risiko yang terpasa dihadapi selepas ini!

>> Komentar bebas Mohd Sany Hamzah, Ketua Pemuda AMANAH Nasional I 15 Sept 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *