Jika tiada siasatan DOJ adakah Najib sedia ‘Cash Is King’ kukuhkan ekonomi Amerika?

Hanya dalam sekelip mata, wajah Amerika sudah berubah beberapa kali di mata para pengampu, pembodek dan di kalangan jentera propaganda Perdana Menteri, Najib Razak.

Sewaktu mula-mula menjadi Perdana Menteri, Najib mempunyai keghairahan yang ketara terhadap Amerika. Bermula dengan melantik rakan karibnya, Allahyarham Jamaluddin Jarjis sebagai Duta Besar ke Amerika, ia kemudian menyaksikan bukan saja kerapnya Najib melawat negara tersebut, bahkan juga membawa Barack Obama dua kali melawat Malaysia.

Ketika itu Amerika dan Obama lantas disanjung serta dipuja.

Awan mula bertukar mendung dan gerhana apabila skandal 1MDB dan kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi Najib mula didedahkan oleh media-media Amerika. Ia bertambah buruk lagi apabila DOJ memulakan tindakannya, mula-mula dengan saman sivil dan kemudian siasatan jenayah.

Sejak itu Amerika mula dipandang jahat, mahu campurtangan dalam negara dan ingin menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Najib. Annuar Musa, Salleh Said Keruak, Dr Puad Zarkhashi dan tidak terkecuali Peguam Negara, Apandi Ali adalah watak-watak yang mengkritik keras tindakan DOJ itu.

Lebih dahsyat, sementara yang lain-lain menyifatkan tindakan Amerika melalui DOJ itu bermotif politik, suatu bentuk campurtangan dan perancangan halus untuk menjatuhkan kerajaan, Ketua Menteri Melaka, Idris Haron lebih buruk tanggapannya dengan menanggapinya sebagai percubaan kuasa besar itu membunuh orang Melayu sebagaimana yang terjadi kepada Iraq sebelum ini.

Kini, setelah Najib dijemput melawat Amerika, meskipun atas daya usaha pelobi dan bukan bersifat lawatan rasmi sebagai ketua kerajaan, sekali lagi tanggapan terhadap Amerika telah berubah sama.

Meskipun kunjungan Najib ke Amerika kali ini mahal harganya, sepertimana kata Rafizi Ramli hanya untuk membayar ufti yang bernilai kira-kira RM100 bilion yang disebut Perdana Menteri dengan tujuan untuk mengukuhkan ekonominya melalui wang yang diambil daripada Mas, KWSP dan Khazanah, nama Amerika dan Donald Trump yang semua kita ketahui terang-terang anti Islam ketika kempen pilihanraya, pasti kembali wangi dan harum di mata para pengampu, pembodek serta segala jentera propagandanya.

Malah ketika ini, jika kita tanya Annuar Musa, Salleh Said Keruak, Puad Zarkashi dan Idris Haron tentang Amerika dan Trump, mungkin ada yang tiba-tiba diserang sakit jantung mendengar pujian melangit yang keluar daripada mereka.

Yang nyata, meskipun negara kita hanya ular lidi dan Amerika umpama ular sawa dan saiz ekonomi mereka berganda-ganda besarnya dibandingkan kita, Najib dalam usaha membeli jiwa dan menambat hati Trump, telah menawarkan satu pakej untuk mengukuhkan ekonomi yang membuatkan sesiapa saja, daripada makcik Felda hingga kepada pakar-pakar ekonomi dunia, pasti ketawa mendengarnya.

Siapa Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi Amerika?

Kenapa hanya sekarang Najib menawarkan untuk mengukuhkan ekonomi itu?

Mengapa sebelum ini, dalam beberapa kali lawatan Najib ke Amerika dan kemudian dibalas dengan kunjungan Obama ke Malaysia, tawaran serupa tidak pernah disuakan?

Logikkah negara membangun menawarkan untuk mengukuhkan ekonomi sebuah negara paling maju?

Pernahkah sebelum ini, Najib melakukan tawaran yang sama kepada negara-negara membangun, negara miskin atau negara Islam yang dilanda perang atau musibah?

Mengapa, ketika di dalam negara di mana Najib amat bergantung kepada cukai GST untuk membantu kerajaan, pengangguran masih ketara, ramai siswazah tiada kerja, banyak projek pembangunan tersekat-sekat kerana kekurangan dana, bantuan pendidikan dipotong atau ditiadakan, Najib tiba-tiba begitu pemurah menawarkan RM100 bilion untuk mengukuhkan ekonomi Amerika?

Apakah ekonomi negara kita sudah benar-benar kukuh sehingga KWSP dan Khazanah tidak lagi melihat pelaburan infrastruktur dalam negara bukan lagi penting berbanding membina prasarana yang hanya memberi keselesaan untuk rakyat Amerika?

Lebih ganjil, apa yang ditawarkan kepada Amerika itu bukan di ketika mereka ada membuka mulut menyuarakan permintaan meminta bantuan, tetapi Najib sendiri yang memulakannya sehingga Trump sendiri tampak sedikit terkejut dan segera berpeluk tubuh sebaik mendengarnya.

Yang pasti, seperti kata Tun Mahathir, semua ini hanya mengesahkan lagi amalam politik “cash is king” yang semakin membudaya dalam diri Najib.

Yang pastinya juga, tanpa saman sivil dan siasatan jenayah oleh DOJ yang semuanya bermula daripada 1MDB yang ditubuhkan Najib, tidak beginilah jadi celaru dan caca-marbanya masa depan negara kita.

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisa politik semasa I 15 Sept 2017).

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *