Hindraf yakin boleh bantu Pakatan Harapan memenangi 31 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dun

KUALA LUMPUR: Hindraf yakin dapat membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi undi kaum India dan menawan 31 kerusi Parlimen serta 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, pengerusi kumpulan hak asasi kaum India itu, P Waythamoorthy berkata, kejayaan Hindraf itu dibuat “berdasarkan andaian” persempadan pilihan raya kekal sama dan pengundi Cina serta Melayu masih menyokong PH.

“Saya boleh memberi jaminan kepada anda, Hindraf akan turun padang dan berkempen untuk Pakatan,” katanya dalam forum menjatuhkan kerajaan sedia ada pada PRU14, malam tadi.

Turut hadir ialah ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Waythamoorthy yakin 16 daripada 31 kerusi Parlimen itu pasti menjadi milik PH, termasuk kerusi Bagan Datuk yang disandang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden Umno itu yang sedang menggalas tugas timbalan presiden, menewaskan calon PKR, Mahdi Hasan dengan majoriti 2,108 undi pada PRU13.
Waythamoorthy berkata, kerusi Parlimen itu mempunyai lebih 9,000 pengundi India.

“Bagan Datuk ialah kerusi luar bandar dan kaum India di sana akan dengar cakap Hindraf.

“Hampir setiap keluarga luar bandar di negara ini berkait dengan Hindraf dalam satu atau lebih banyak cara dan kami boleh memberi jaminan tiada undi akan diberikan kepada BN.”

Hindraf, katanya, juga yakin dapat memenagi kerusi Parlimen Merbok dan Pasir Gudang, tetapi NGO itu memerlukan masa untuk membuat perancangan dan merangka strategi.

Beliau berkata, jentera PH juga perlu bersiap sedia menghadapi PRU14.

“Kami mahu menjalin kerjasama sebenar dengan PH supaya kami boleh turun padang dan membantunya,” katanya yang berharap perbezaan mereka boleh diketepikan bagi menjatuhkan BN.

Ikrar Waythamoorthy untuk membantu PH memenangi undi kaum India itu disuarakan hampir sebulan selepas beliau menemui Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pertemuan itu diadakan pada 17 Ogos lalu bagi menyuarakan hasrat Hindraf menyertai atau bersekutu dengan PH.

Dr Mahathir mengakui pengaruh Hindraf mampu memperkasakan jentera gabungan pembangkang itu.

“Kita mengakui hakikat bahawa Hindraf mempunyai sokongan setiap lapisan masyarakat India, bukan sahaja doktor dan peguam, malah juga penduduk di estet.

“Maka kita bekerjasama dengan Hindraf, kalau pun bukan sebagai komponen PH, sekurang-kurangnya ia menjadi sebahagian pembangkang,” kata pengerusi PPBM itu, bulan lalu.

Hindraf atau nama penuhnya Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu, merupakan pergerakan kaum India yang terkenal dengan protes besar-besaran beberapa bulan sebelum PRU 2008.

Protes itu menjadi pencetus kepada peralihan sokongan politik pengundi berbangsa India kepada pembangkang, yang menyaksikan BN tewas di kerusi dengan penduduk kaum India yang ramai.

Bagaimanapun, Hindraf di bawah Waythamoorthy beralih sokongan kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas persefahaman dengan BN pada kempen PRU 2013.

Beliau dilantik senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, tetapi meletak jawatan kurang setahun selepas itu kerana mendakwa BN gagal menunaikan janji membantu masyarakat India.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *