DAP majoriti di Selangor tetapi orang Melayu masih selamat, tidak ditindas kata AMANAH

KUALA LUMPUR: Orang Melayu di Selangor masih tidak ditindas walaupun majoriti kerusi DUN di negeri itu dikuasai DAP, kata seorang pemimpin AMANAH yang mempersoalkan dakwaan Melayu akan terpinggir sekiranya memberi undi kepada DAP.

“Di Selangor, parti yang paling ramai adalah DAP. Melayu mati ke? Tidak. Jadi kenapa takut sangat?” soal Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad di sebuah program ceramah di Selayang Baru, malam tadi.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata undi kepada Pakatan Harapan (PH) bererti memberi undi kepada DAP yang menurutnya dibayangi Evangelis Kristian.

“DAP sebenarnya menyelindungi wajah hipokrit dengan menyelinap serta mempengaruhi Amanah, PPBM dan PKR untuk dicengkam sebagai proksi dalam melaksanakan pelbagai misinya,” kata Khalil.

Tuduhan sama diulangi pemimpin Umno yang berkata DAP adalah parti yang berkuasa dalam PH.

DAP ketika ini memiliki 14 kerusi dalam DUN Selangor, berbanding 13 kerusi yang masing-masing dimiliki PKR dan Pas. Ketiga-tiga parti itu masih menganggotai kerajaan campuran di negeri itu walaupun Pas bukan sebahagian daripada PH.

Khalid berkata dominasi sesuatu parti seperti mana Umno dalam Barisan Nasional (BN) tidak akan berlaku dalam PH.

Sementara itu dalam ucapannya, Adun Kota Alam Shah, Ganabatirau Veraman mempersoalkan sikap memainkan isu kaum dan bangsa.

“Setiap kali Umno dan kawan baru mereka daripada bulan, mereka nyatakan undi Pakatan Harapan adalah undi untuk DAP. Jika menang parti ini (DAP) akan menjajah, memecah belahkan kaum di Malaysia.

“Sampai bila perkara ini kita mahu biarkan berlaku? Negara sudah merdeka selama 60 tahun, masih nyatakan agama dan kaum sebagai senjata Umno,” katanya.

Exco Kerajaan Selangor itu berkata, walaupun isu perkauman sering dibangkitkan pemimpin Umno tanpa bantahan daripada rakan komponen BN lain.

“Mana pergi MIC, MCA dan Gerakan? Adakah mereka tidak tahu malu kerana masih mempertahankan Umno dalam perkara ini?

“Jika Pas menyatakan mereka mempertahankan agama, mana pula suara dari pemimpin Pas?” soalnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *