Urusniaga Pelabuhan Klang merosot teruk, syarikat besar mulai pindah ke Singapura

Ketika Malaysia giat merancang pembinaan pelabuhan dan projek kereta api baharu di bawah pembiayaan China, Pelabuhan Klang menerima tamparan hebat dengan pemindahan beberapa syarikat perkapalan besar dari pelabuhan utama negara ke Singapura di bawah perjanjian pakatan baharu, kata pegawai industri dipetik Straits Times.

Akhbar Singapura itu melaporkan Cosco Shipping milik China – syarikat perkapalan ke-4 terbesar di dunia, yang terbabit dalam pakatan lautan syarikat perkapalan dikenali Ocean Alliance, memindahkan operasi mereka dari Pelabuhan Klang ke PSA di Singapura, April lalu.

Selain itu, Pelabuhan Klang turut mengalami impak besar daripada perjanjian pakatan baharu itu yang disertai syarikat perkapalan gergasi United Arab Shipping Company (UASC) dan kumpulan perkapalan Perancis, CMA-CGM.

UASC kini bergabung dengan Hapag-Lloyd dari Jerman, menjadikannya sebahagian daripada pakatan baharu itu, sementara CMA CGM ialah syarikat terbesar dalam saingan Ocean Alliance.

Ini kerana, Pelabuhan Klang dijangka berdepan kemerosotan dari segi pengendalian dan pemunggahan kontena sehingga 2 juta TEU (unit bersamaan kontena 20 kaki) setiap tahun.

Pegawai industri yang dipetik Straits Times berkata, lebih separuh daripada pengendalian kargo dari Asia dan Eropah dipindahkan dari Pelabuhan Klang ke Singapura, apabila 2 syarikat perkapalan itu yang mengendalikan hampir separuh daripada kapasiti penghantaran kontena di dunia, melaksanakan penyusunan semula April lalu.

CMA CGM dan Cosco memindahkan operasi ke Singapura kerana kedua-dua syarikat itu mempunyai pelaburan besar di sana. Susulan itu, PSA mencatatkan kenaikan 9.6% kepada 8.5 juta TEU pada suku ke-2.

Selain Pelabuhan Klang, sebuah lagi pelabuhan daripada kalangan 20 pelabuhan terbaik di dunia, iaitu Tanjung Pelepas di Johor turut menyaksikan kemerosotan pada separuh pertama tahun ini.

Menurut laporan akhbar itu, tindakan berkenaan meningkatkan kebimbangan dalam kalangan industri terhadap komitmen Beijing untuk menyokong industri logistik di Malaysia, selain lebihan bekalan akibat rancangan pembinaan pelabuhan besar seperti Melaka Gateway bernilai RM43 bilion dan pelabuhan di Pulau Carey.

Sumber kerajaan dan industri memberitahu Straits Times, syarikat China yang menyasarkan mengambil kepentingan dalam 2 projek itu sangsi dengan daya majunya. Pelabuhan di Pulau Carey kini mempunyai rakan kongsi India dengan pembiayaan RM50 hingga RM100 bilion.

Selain pelabuhan laut dalam di Selat Melaka itu, Malaysia juga akan membina Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan.

“Hanya Pelabuhan Kuantan mempunyai ekuiti China setakat ini kerana ia turut menyokong dakwaan Beijing ke atas Laut China Selatan.

“Rancangan pembinaan infrastruktur lain sama ada belum dimulakan atau hanya membabitkan pinjaman, atau lebih teruk, hanya syarikat China yang mendapat kontrak pembinaan,” kata bekas pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Lee Hwa Beng kepada akhbar itu.

Bagaimanapun, Putrajaya bertegas jumlah pengendalian kargo akan meningkat, susulan usaha mengukuhkan hubungan dengan selatan Thailand dan Sumatera merentasi Selat Melaka.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata, jumlah pengendalian karga hanya mencatat sedikit penurunan, tetapi pertumbuhan kukuh berlaku dalam negara, khasnya pengeluaran ekonomi.

“Kami mempunyai hubungan sangat baik dengan Cosco yang yakin dengan Malaysia,” katanya,

Melaka Gateway merupakan projek inisiatif swasta merangkumi pembangunan bercampur di atas 4 pulau buatan yang diiktiraf sebagai projek nasional Bidang Ekonomi Utama Negara.

Antara cadangan pembangunan yang akan dilakukan di situ selain terminal penumpang kapal persiaran antarabangsa di Pulau Melaka East 1 adalah bandar komersial di Pulau Melaka East 2, terminal pukal cecair di Pulau Melaka East 3 dan terminal pelbagai guna, termasuk kontena serta taman industri maritim di Pulau Melaka East 4.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *