Memang AMANAH ‘kemaruk kuasa’ untuk menang PRU14 rampas kuasa daripada orang gila

KUALA LUMPUR: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menerima tuduhan “kemaruk kuasa” yang dilempar Pas Selangor dan mengaku parti itu sememangnya mahu menang pilihan raya dan merampas kuasa daripada “orang gila”.

“Memanglah. Kita masuk pilihan raya sebab nak ambil kuasa dan gila kuasa. Sebab kita nak rampas kuasa dari ‘orang gila’,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan di Ibu Pejabat AMANAH semalam.

Beliau berkata demikian selepas Pas menyelar AMANAH sebagai “kemaruk kuasa” apabila menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali menimbang semula kedudukan Pas dalam kerajaan negeri.

Gesaan itu dibuat melalui usul yang dibentangkan AMANAH Selangor dan diluluskan Konvensyen AMANAH negeri Ahad lalu.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi mempertikaikan kewajaran usul itu ketika pentadbiran negeri tidak mengalami masalah dengan keberadaan Pas dalam kerajaan.

Mohamad Sabu berkata pihaknya tidak akan menghalang usul oleh ahli AMANAH.

“Sebarang keputusan (mengenai kedudukan PAS) akan diputuskan dalam mesyuarat. Pandangan mana-mana pihak tak ada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai peluang calon AMANAH di Selangor pada pilihan raya umum akan datang. AMANAH Selangor turut mencadangkan Mohammad Sabu diturunkan sebagai calon di negeri itu.

“Kali ini lebih yakin. Sebab saya tengok misalnya Konvensyen AMANAH sambutan begitu baik, dan Konvensyen PPBM peringkat nasional saya nampak mereka yang datang ke himpunan itu muka-muka tak pernah mengundi selain daripada BN.

“Ertinya pilihan raya akan datang kami akan dapat nilai tambah daripada pengundi-pengundi yang akan mengundi Pakatan Harapan,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Sabu dalam sidang medianya menjelaskan gabungan 4 parti itu akan mengadakan “Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” yang akan diadakan di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), bermula dari 4.00 petang hingga 12.00 malam.

Menurut beliau, himpunan itu bertujuan menyedarkan rakyat mengenai hak dan wang mereka berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mat Sabu berkata, himpunan tersebut juga menyasarkan 100,000 peserta dan warna merah sebagai tema.

“Setakat ini terbuka kepada sekalian rakyat tak kira atas apa parti kita rakyat yakin hadir,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *