Bersendirian, lebih mungkin menjadikan Pas putih mata dan tidak ke mana-mana

“Presiden Pas, Hadi Awang cakap besar bahawa parti itu akan menang 5 negeri dalam PRU 14 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan Selangor.

“Satu-satunya kemungkinan yang ada untuk mencapainya ialah dengan membentuk kerjasama antara Pas dengan UMNO. Kalau tidak, tiada kemungkinan 5 negeri itu untuk dimenangi.

“Cuma, adakah Najib Razak setuju membenarkan Pas mentadbir 5 negeri tersebut, manakala UMNO dan BN hanya memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen?”

Di atas adalah kata-kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung cita-cita politik Pas yang pernah diluahkan oleh Hadi sebelum ini.

Mahu tidak mahu, berdasarkan realiti politik sekarang, bekerjasama dengan UMNO sajalah satu-satunya jalan kemungkinan yang ada untuk Pas mencapai segala impiannya.

Kata orang, itulah formula menang-menang antara Pas dengan UMNO di mana dengannya Pas dapat menguasai 5 negeri dan Najib dapat terus kekal di Putrajaya.

Bersendirian, lebih mungkin menjadikan Pas putih mata dan tidak ke mana-mana.

Dalam masa yang sama, melalui kerjasama dengan UMNO juga adalah satu-satunya jalan yang membuatkan Pas dapat menguburkan hajat dan cita-cita DAP yang kononnya parti itu akan menentukan hala tuju serta menguasai negara sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih kuasa.

Bukankah sudah sekian ramai pemimpin Pas, terbaru anak Hadi sendiri mengatakan mengundi Harapan sama seperti mengundi DAP?

Maka, daripada menggambarkan mengundi Harapan sama seperti mengundi DAP, tidaklah kelihatan lebih manis dan ada bau-bau syurga untuk merealisasikan hakikat mengundi Pas sama seperti mengundi UMNO?

Dalam hal ini, Pas perlu meyakinkan Najib dengan sebaik mungkin hujah dan alasan untuk kerjasama tersebut menjadi kenyataan kerana ia satu-satu jalan yang mampu memberi kebaikan, keselamatan dan kenikmatan dunia kepada kedua-duanya.

Jika tidak, nanti ada yang putih mata dan mungkin mengakhiri kehidupan di penjara.

Bagi Najib pula, tiada apa yang lebih penting mahu dicapainya, bukan kepentingan negara, agama atau bangsa, melainkan agar kuasa tidak terlepas daripada genggamannya.

Ayuhlah Pas, jangan tunggu lama-lama dan buang masa lagi.

Bercinta dan bermesra lama-lama tanpa perkahwinan pun tak baik dipandang orang.

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penulis politik I 11 September 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *