ANAK alu-alukan perlantikan Pengerusi FGV daripada kalangan bukan orang politik

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini untuk melantik Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, ini merupakan kali pertama Pengerusi FGV dilantik bukan daripada kalangan orang politik.

Azhar merupakan Pengarah Urusan Malakoff Corp Bhd sebelum meletak jawatan pada 30 Jun lalu.

Julai lalu, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dilantik sebagai pemangku pengerusi FGV, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Isa Abdul Samad.

Bagi Mazlan, pelantikan Azman sekurang-kurangnya memberi harapan.

“Di tahap ini, apabila dilantik orang bukan politik, setidak-setidaknya boleh beri satu harapan.

“Untuk memulakan satu misi yang baru daripada pengerusi FGV yang ada,” katanya dihubungi FMT.

Azhar merupakan pengarah urusan Malakoff Corp Bhd sebelum meletak jawatan pada 30 Jun lalu.

Azhar, 56, mempunyai kelayakan sebagai akauntan bertauliah, dan pernah bertugas sebagai auditor di British Telecoms.

Beliau juga pernah bertugas di Pernas International Holdings Bhd, Sime Darby dan Tractors Malaysia. Daripada 2011 hingga 2014, beliau merupakan ketua pegawai eksekutif Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd.

Mazlan berharap selepas pelantikan Azhar akan segera menyelesaikan masa depan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad.

“Kalau siasatan dapati tiada kes, saya harap Zakaria ditempatkan semula sebagai ketua pegawai eksekutif FGV.

“Tentu sekali kombinasi kedua-dua mereka itu akan memberi sinar baru kepada para peneroka,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *