Nor Mohamed akui tak maklum urus niaga forex kepada Mahathir dan 2 menteri kewangannya

PUTRAJAYA: Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang terbabit secara langsung dalam urus niaga mata wang asing (forex) mengakui tidak pernah memaklumkan serta berbincang dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu mengenai perkara berkenaan.

Beliau merujuk Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad serta 2 menteri kewangannya, Tun Daim Zainuddin (1984-1991) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (1991-1998).

“Saya tidak pernah pada bila-bila masa pada 1986 hingga 1993 berbincang dengan Menteri Kewangan (Daim dan Anwar) mengenai urus niaga forex yang dijalankan BNM,” katanya di Istana Kehakiman semalam.

Bekas Penasihat Kewangan BNM itu berkata demikian ketika memberi keterangan dalam sesi ke-5 prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian perdagangan forex bank pusat itu pada awal 1990-an.

Nor Mohamed turut mengakui bertanggungjawab mengendalikan urus niaga forex yang dijalankan BNM, sejak 1986.

Bekas menteri itu berkata, beliau melaporkan setiap aktiviti perdagangan forex kepada Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaafar Hussein.

“Saya tidak bersetuju yang semua laporan berkaitan mata wang asing hanya dilaporkan kepada saya.

“Saya tidak ingat had pada dagangan mata wang asing yang ditetapkan kepada saya. Saya tidak ingat keuntungan dan kerugian yang dialami forex,” katanya yang meletak jawatan dalam BNM pada 1994 akibat kerugian forex itu.

Beliau kembali ke BNM pada 1998 dan berkhidmat sehingga April 2000 serta menjadi penasihat ekonomi kepada kerajaan (Mei 2000 hingga Disember 2003) dan menteri (2004 hingga 2013).

Nor Mohamed dipuji kerana menasihatkan Dr Mahathir menambat ringgit pada tahap RM3.80 berbanding AS$1 bagi mengelakkan spekulasi lanjut mengenai mata wang tempatan.

Pada 30 Ogos lalu, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kasim ketika memberi keterangan kepada RCI sebelum ini memaklumkan urus niaga forex BNM adalah arahan Nor Mohamed.

Malah katanya, Lembaga Pengarah BNM tahu mengenai urus niaga itu, selepas meneliti laporan audit dalaman.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *