AMANAH desak junta tentera Myanmar hentikan genosid terhadap etnik Rohingya

Amat jelas bahawa pembantaian kaum Rohingya sedang dilakukan oleh junta tentera Myanmar. Ianya adalah bukti nyata bahawa pembantaian ini adalah keganasan anjuran regim Myanmar sendiri.

Ini memberikan gambaran bahawa bagi kerajaan Myanmar, penyelesaian terhadap persoalan berbezanya agama, bangsa, bahasa dan budaya adalah secara genosid atau pembersihan etnik.

Kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membela dan melindungi rakyatnya, sebaliknya menjadi institusi yang menganjur pembunuhan, penyeksaan, rogol dan pembantaian rakyat minoritinya termasuk golongan wanita, kanak-kanak dan orang tua.

Adalah jelas bahawa sikap dan tindakan kerajaan dan tentera Myanmar perlu dikutuk dan dihentikan. Tiada alasan yang boleh diterima untuk mengharuskan kezaliman yang sebegini dahsyat. Tiada tempat bagi amalan sebegini dalam dunia bertamadun.

Genosid dan pembersihan etnik sekejam ini malangnya turut didalangi pimpinan Buddhist Myanmar. Ini mencemarkan imej agama Budhha yang sekian lama dilihat sebagai agama perdamaian dan kasih sayang. Adalah diharap persatuan-persatuan Buddha seluruh dunia akan bangkit bersama persatuan-persatuan Islam dan NGO antarabangsa mengutuk kezaliman ini.

Walaupun campur tangan dalam urusan dalaman negara jiran adalah sesuatu yang sentiasa ingin dielak, kezaliman sebegini rupa tidak boleh didiamkan begitu sahaja.

Sambil kerajaan Indonesia, Turki dan Iran bersuara membantahnya, sunyinya kerajaan Malaysia dalam isu ini membinggungkan kita. Ke mana perginya semangat persaudaraan Islam yang dilaung-laungkan sebelum ini?

Kerajaan Malaysia mesti bertindak segera menghentikannya dengan melakukan apa yang perlu, sama ada secara terbuka atau tertutup, bukan sekadar mengutuk dan membantah kezaliman yang sedang berlaku.

Ke arah ini, kerajaan Malaysia digesa menyelaras inisiatif negara-negara Islam dan ASEAN, untuk mencari penyelesaian adil yang jelas tidak mampu dilakukan kerajaan Myanmar dengan sendirinya.

AMANAH mendesak kerajaan Myanmar untuk menunaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat khususnya kaum Rohingiya. Bebaskan mereka dan tanah air mereka. Dalam erti kata lain, berikan autonomi kepada wilayah Arakan.

>> Komentar bebas YB Khalid Samad, Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional I 8 September 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *