Mufti Perlis gesa umat Islam berkongsi daging korban dengan orang bukan Islam

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata walaupun lazimnya umat Islam Malaysia disuruh tidak berkongsi daging sembelihan Hari Raya Aidiladha dengan penganut lain, amalan itu boleh diubah khususnya dalam konteks umat Islam di Malaysia yang hidup bersama penganut agama lain.

Menjawab persoalan sama ada daging korban boleh diagihkan kepada bukan Islam, Asri berkata pandangan ia hanya boleh diagihkan sesama umat Islam adalah berdasarkan mazhab Syafie yang diamalkan di Malaysia.

Menurutnya, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama dan memberikan contoh pandangan ulama mazhab Hanbali yang membolehkan umat Islam mengagihkan daging korban kepada bukan Islam.

Menurutnya, pandangan itu lebih sesuai diikuti di Malaysia yang mempunyai penduduk pelbagai agama, di samping ia memberikan imej baik kepada Islam.

“Pada zaman di mana persepsi tentang Islam yang kurang baik dicetuskan sebahagian media dan seumpamanya, kita memerlukan kepada dakwah, contoh teladan yang baik, penampilan yang menzahirkan Islam sebagai ‘rahmat lil alamin’, prihatin untuk semua,” kata Asri dalam video yang dimuat naik pada Hari Raya Aidiladha, Jumaat lalu.

“Apabila ada jiran tetangga, rakan sejawatan ataupun kawan di pejabat yang melihat kita makan sedangkan kita tidak menjemputnya atau melihat kita menjamu orang lain sedangkan kita meminggirkan mereka, ini akan menimbulkan persepsi yang kurang baik,” katanya.

Pandangan Asri itu bertentangan dengan pendirian pihak berkuasa agama di negeri lain.

Minggu lalu, Jabatan Mufti Selangor mengumumkan fatwa yang melarang daging korban kepada bukan Islam.

“Tidak harus memberi makan daging qurban dan aqidah kepada orang bukan Islam sama ada daging qurban wajib dan aqiqah wajib ataupun sunat,” menurut pengumuman mufti Selangor yang diterbitkan di sebuah akhbar harian 2 hari sebelum Hari Raya Aidiladha.

Asri berkata pandangan membolehkan daging korban dikongsi dengan bukan Islam sesuai diamalkan oleh mereka yang tinggal di kalangan bukan Islam.

“Supaya kita semua dapat hidup dalam keadaan yang aman dan bahagia dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Di negara kita di musim ini, kita semua inginkan semangat Malaysia, kita patut memilih fatwa dan pandangan para ulama yang lebih mendekatkan kita kepada perpaduan dan maksud agama ‘rahmatan lil alamin’ dan memberikan imej yang baik kepada Islam,” kata Asri.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *