Etnik Rohingya jadi mangsa korban rejim Myanmar diambang Hari Raya Korban

Malaysia mesti segera bertindak tegas menyelamatkan kaum Rohingya Myanmar yang sedang dibunuh beramai ramai. Setelah melihat sikap Kerajaan Myanmar yang angkuh dan kejam tidak mendengar bantahan suara negara negara antarabangsa, sudah sampai masanya Kerajaan Malaysia memanggil Sidang Khas Parlimen bahas isu pembunuhan kaum Rohingya.

Apabila kami yang bersama NGO tempatan yang di ketuai oleh MAPIM hadir di Kedutaan Myanmar Kuala Lumpur pada 30 Ogos untuk menyampaikan Memorandum tentang Rohingya, sikap tidak menghormati rombongan kami dengan menghantar kakitangan bawahan menerima memo tersebut amat mendukacitakan.

Sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, saya telah membawa satu usul khas di Parlimen tahun lalu untuk membahas pembunuhan dan kekejaman ke atas kaum Rohingya di Myanmar.

Malangnya usul tersebut telah ditolak oleh Kerajaan dengan hanya ahli Parlimen Pakatan Harapan menyokong usul tersebut.

Kerajaan Malaysia mesti merasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku hari ini kerana Malaysia telah menyokong kuat kemasukkan Myanmar kedalam ASEAN.

Malaysia juga berusaha keras untuk pembebasan Aung San Suu Kyi dari penahanan pihak tentera Myanmar sehingga beliau menjadi Perdana Menteri Myanmar hari ini.

Kegagalan Kerajaan membahas dan membuat pendirian rasmi yang tegas di Parlimen tahun lalu telah melihat pembunuhan yang lebih ganas dan meluas oleh pihak tentera Myanmar hari ini.

Menjelang Hari Raya Korban , begitu ramai umat Islam Rohingya yang kecil, tua dan wanita di korbankan oleh Junta tentera Myanmar secara terancang.

Apakah kita negara majoriti rakyat Islam masih berdiam diri sementara Pope Francis dari Vactican telah mengumumkan beliau akan ke Myanmar dalam waktu terdekat kerana krisis kemanusiaan yang makin meruncing?

Tidak malu kah Kerajaan kita yang masih berpeluk tubuh tidak bersedia pun untuk membahas isu ini di Parlimen?

Dimanakah keperhatinan kita sebagai seorang Islam melihat saudara seAgama kita di korbankan dengan begitu kejam?

Semasa Pope Francis dari Vactican merancang untuk ke Myanmar kerana isu umat Islam Rohingya, Dato Najib sibuk dengan persiapan hendak ke Amerika berjumpa dengan Presiden Trump seorang yang terkenal dengan sikap perkauman dan anti Islamnya.

Di manakah Datuk Seri Mohd Najib Razak meletak prioriti kemanusiaan Islamnya berbanding dengan politiknya? Polisi kononnya tidak campur tangan ehwal negara ASEAN tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada Malaysia apabila beribu umat Islam tidak berdosa di bunuh begitu kejam di negara jiran.

Isu penglibatan Malaysia bersama tentera sekutu Saudi ia itu Amerika, Britain dan Peranchis menyerang negara miskin Yaman di rakamkan dalam laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pada Januari 2017.

Soalan saya di Parlimen pada tahun lepas tidak di jawab dengan penuh tentang dakwaan PBB yang Malaysia terlibat dalam jenayah perang pembunuhan bersama Amerika beribu-ribu rakyat Islam Yaman. Kenapa campur tangan di negara yang jauh tetapi tidak bersungguh menyelamatkan nyawa umat Islam di Negara jiran?

Sekali lagi saya menuntut sidang Khas Parlimen untuk bahas Usul isu pembunuhan Rohingya yang telah ditolak Kerajaan tahun lalu.

Berapa ramai lagi rakyat Rohingya mesti menjadi korban kekejaman junta Myanmar sebelum Kerajaan mahu mengambil sikap serius isu ini.

Semasa kita membahagi bahagikan daging korban pada Hari Raya Aidil Adha ingatlah sedikit berapa ramai rakyat Islam Rohingya kelaparan menjadi pelarian dan terus menjadi korban pembunuhan kejam Junta Tentera Myanmar.

>> Komentar bebas Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Ahli Parlimen Kuala Terenganu merangkap Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH I 5 Sept 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *