Kualiti pengangkutan awam di Mlaysia masih gagal diatasi – Dr Tan Yee Kew

Baru sebulan lebih Transit Aliran Massa (MRT) aliran dua dilancarkan, ramai pengguna sudah meluahkan rasa ketidakpuashatian mereka ekoran terdapat masalah kelewatan sepertimana yang terjadi pada 22 Ogos lalu.

Menerusi kenyataan RapidKL di Facebooknya, kelewatan tersebut dipercayai berpunca daripada masalah isyarat antara Stesen Pusat Bandar Damansara dan Stesen Phileo Damansara.

Bagi saya, perkara sebegini tidak sepatutnya terjadi terutama MRT adalah perkhidmatan awam yang dibangga-banggakan kerajaan dan sepatutnya masalah seperti ini perlu dikenalpasti dengan menyediakan alternatif lain sebelum memulakan atau melancarkannya.

Projek ini tidak boleh dihadapkan dengan risiko terhadap keselamatan rakyat serta kemajuan sistem pengangkutan awam negara yang kononnya terbaik di dunia.

Selain daripada permasalahan MRT, saya turut mendapat tahu bahawa KTM Komuter turut terjejas pada hari sama sehingga membuatkan pengguna sangat kecewa kerana telah menganggu perjalanan mereka ke destinasi yang ingin ditujui.

Bagi KTM, ini bukan pertama kali berlaku sebaliknya hampir setiap bulan menghadapi masalah yang dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap.

Pengangkutan awam merupakan salah satu pengangkutan yang amat penting di negara kita. Malah, kerajaan turut menggalakkan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam sebagai pengangkutan utama.

Namun, masih banyak kelemahan yang kerapkali menjadi sungutan orang ramai. Masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.

Sekiranya di negara ini dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti, orang ramai juga akan berasa selesa menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan dan secara tidak langsung turut dapat menyelesaikan masalah lain seperti kesesakan lalu lintas di bandaraya Kuala Lumpur.

Datin Paduka Dr Tan Yee Kew
Bendahari Agung
Parti KEADILAN Rakyat
29 Ogos 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *