Kisah Pak Samad seludup rokok, rempuh kilang ketika perit negara dijajah lebih 6 dekad lalu

KUALA LUMPUR: Warga kota di sini sering melihat Datuk Seri A. Samad Said di pelbagai tempat awam. Bertubuh kecil dengan gaya rambut yang mudah dicam daripada jauh, Sasterawan Negara ini pernah melalui kehidupan perit ketika negara dijajah lebih 6 dekad lalu.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad bersyukur sekiranya masih mampu bernafas keesokan hari, begitulah keperitan yang dilalui.

“Ketika itu, saya sentiasa gusar, takut dan gamam. Bahkan kehidupan selepas tentera negara Jepun menjajah lagi tidak menentu,” katanya ditemui FMT, ketika beliau berehat di Masjid Negara.

Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 31 Ogos, 1957. Tentera Jepun pula menduduki Tanah Melayu di antara 1942 dan 1945, ketika era yang menyaksikan krisis makanan di kalangan rakyat.

Pak Samad berkata keadaan itu memaksa mereka mencuri untuk mengalas perut.

“Apabila kita mendengar berita ada yang merempuh kilang, kita juga turut serta rempuh kilang disebabkan kita mahukan ikan sardin,” katanya.

“Selama hampir 4 tahun ketika Jepun menjajah Tanah Melayu, menjadi kebiasaan jika saya melihat bom-bom jatuh di kiri dan kanan,” katanya.

Kini, Pak Samad sudah mencecah usia 80 tahun.

Pada 1979, Pak Samad dianugerahkan dengan Anugerah Penulis Asia Tenggara. Enam tahun lepas, beliau diiktiraf sebagai Sasterawan Negara.

Menceritakan lagi realiti kehidupan ketika era penjajahan, Pak Samad berkata semasa usia remaja, beliau terpaksa menyeludup dan menjual rokok di pasaran gelap demi mencari wang saku.

“Semasa penjajahan Jepun, ahli keluarga saya mendapat kad lesen mingguan. Saya ditugaskan untuk mengambilnya mewakili keluarga, dalam pek diberikan itu disertakan gula, beras, sagu dan rokok.

“Ketika itu antara dicari orang adalah rokok Jepun. Saya ambil rokok yang diberi dan lain-lain barangan saya berikan kepada ibu,” katanya.

Pak Samad masih ingat persediaan negara pada 31 Ogos 1957.

Beliau sendiri hadir menyaksikan sendiri detikan menara jam di Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Ketika itu, saya hadir bersama rakan-rakan saya dan kami berada di jam besar. Kami sempat mendengar sorakan, melihat gelagat riang orang ramai yang hadir,” katanya, dan menambah perasaan yang dilaluinya sesuatu yang sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata.

“Perasaan ria bercampur sebak, memandangkan saya sudah alami kehidupan susah,” katanya yang ketika itu berusia 20-an.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *