Dr Mariah mahu golongan wanita membina semula negara dalam erti kata sebenar

KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat di negara ini khususnya golongan wanita diseru bersama-sama menyelamatkan dan membangunkan semula negara dalam erti kata sebenar ketika meraikan dua sambutan perayaan Kemerdekaan dan Hari Raya Aidil Adha tahun ini.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Dr Siti Mariah Mamud berkata, kesanggupan wanita menyertai politik dan berada di barisan hadapan bukanlah satu tugas yang spontan sebaliknya penuh kesedaran demi untuk memerdekakan dan membebaskan negara ini dari cengkaman asing.

“Ketika ini, negara menghadapi realiti ekonomi antara dua darjat dengan jurang yang terus melebar, hutang negara yang kian bertambah, skandal kewangan terburuk 1MDB dalam sejarah sehingga menjatuhkan maruah negara di seluruh dunia.

Keadaan ini sudah tentu membuka peluang kepada kuasa asing untuk mengambil kesempatan dengan menawarkan pelbagai projek mega yang telah mendapat kritikan hebat dari beberapa ahli ekonomi.

“Saya juga cenderung melihat pelbagai tawaran ini sebagai serampang dua mata oleh kuasa asing untuk menguasai ekonomi negara dan kepentingan awam.

“Sudah tentu dalam keadaan ini, rakyat perlu menyatakan kegusaran dan saya mengharapkan agar para wanita dan ibu untuk melakukan perkara yang sama.

“Kita juga perlu bimbang dengan budaya rasuah yang amat mencolok mata. Budaya keji ini sudah pasti akan mengancam masa depan anak cucu kita dan negara yang kita cintai ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kata Dr Mariah lagi, sejarah perjuangan wanita seperti Khatijah Sidek, Shamsiah Fakeh, Aishah Ghani, Suriani Abdullah serta sebuah angkatan wanita yang cukup bersejarah iaitu Angkatan Wanita Sedar (AWAS) perlu kita baca dan wacanakan semula untuk memantapkan pemikiran dan gerak kerja golongan wanita dalam negara ini.

“Sudah tentu ada kalangan yang tidak bersetuju dengan beberapa perkara mengenai para pejuang wanita yang cekal ini tetapi itu hal yang boleh didebatkan dan saya bersedia membuka pentas wacana untuk kita mendalami semula para pejuang wanita ini.

“Tetapi apa yang lebih penting adalah daya juang dan keberanian mereka untuk berada di barisan hadapan dalam perjuangan menentang penjajahan,” ujarnya.

Dr Siti Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja ini turut menyentuh berkaitan dengan sambutan hari raya korban yang ketika ini jutaan umat Islam di seluruh dunia sedang mengerjakan rukun Islam kelima iaitu ibadah Haji.

“Tatkala kita melaksanakan ibadah korban dengan tujuan mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala janganlah pula kita lupa dengan situasi dunia Islam ketika ini yang terus berhadapan pelbagai konflik terkini seperti pembantaian etnik Rohingya di Myanmar, krisis kemanusiaan di Yaman yang dilanda kebuluran dan taun serta masalah yang melanda beberapa negara umat Islam yang lain.

“Dalam menginsafi dan menghayati tujuan ibadah korban ini, sirah agung dari Nabi Ibrahim a.s dan puteranya, Nabi Ismail a.s sudah pasti cukup memberi kesan kepada jiwa umat Islam.

“Namun, di sebalik peristiwa agung tersebut, saya ingin mengajak khususnya para wanita dan ibu untuk turut menghayati kisah kecekalan dan pengorbanan seorang wanita iaitu Hajar yang juga isteri Nabi Ibrahim a.s yang sanggup bersusah payah bagi memastikan kelangsungan hidup puteranya, Nabi Ismail a.s yang menangis kehausan.

“Kesungguhan Hajar yang berlari-lari secara sendirian antara Safa dan Marwah semata-mata untuk mencari sumber air bagi menampung dahaga puteranya ternyata bukan suatu tugas keibuan yang mudah dilaksanakan. Peristiwa penuh keinsafan dan menyentuh hati ini turut dilakar dalam ibadah Sa’i yang merupakan salah satu rukun Haji.

“Bagi para pejuang agama Allah, kisah Hajar ini mempunyai makna yang cukup besar dan mendalam. Kisah ini menunjukkan betapa penting dan besarnya kudrat seorang ibu bagi menjaga dan melindungi anak-anaknya dari sebarang ancaman dan malapetaka.

“Sekiranya dibawa semangat kisah ini dalam realiti sekarang, tidak bolehkah para ibu melihat negara ini serta generasi muda sebagai seorang ‘Ismail’ yang perlu diselamatkan?” soalnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *