Pelajar universiti juga rasai kesan potongan bajet, mutu pendidikan kian terjejas

KUALA LUMPUR: Seorang aktivis pelajar menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi menangani penurunan mutu pendidikan di universiti awam.

Gesaan itu berikutan satu laporan mengenai pensyarah universiti awam yang berkata mereka turut merasai kesan kekurangan dana disebabkan potongan bajet oleh kerajaan baru-baru ini.

Bercakap kepada FMT, Anis Syafiqah berkata walaupun kadar yuran tidak naik, universiti awam terpaksa membuat mengurangkan perbelanjaan dalam beberapa perkara penting lain.

“Contohnya, aktiviti atau program pelajar di luar kelas yang perlu menggunakan kemudahan universiti seperti dewan universiti tidak lagi percuma,” katanya.

“Pengurusan universiti terpaksa mengenakan sewa kepada badan-badan pelajar jika mereka mahu menggunakan dewan.”

Anis berkata beliau sedar universiti tidak lagi dapat melanjutkan kontrak beberapa kakitangan termasuk pensyarah. Sementara itu kerja pentadbiran masih perlu dilakukan, katanya.

“Sesetengah pensyarah terpaksa mengambil alih tanggungjawab pentadbiran kerana kekurangan tenaga kerja.

“Ini menyebabkan penurunan mutu kerana pensyarah terpaksa beri perhatian kepada tugasan lain selain mengajar.”

FMT bercakap dengan para pelajar yang menyuarakan pandangan mengenai mutu pendidikan mereka. Mereka yang bercakap dengan FMT mahu identiti dirahsiakan.

Seorang berkata para pelajar terpaksa mengambil peranan yang lebih proaktif untuk memastikan langkah diambil untuk menangani masalah itu.

“Pertama sekali pelajar universiti mesti sedar perkara ini sedang berlaku, dan kemudian mesti berbincang dengan persatuan pelajar mereka,” katanya.

“Diharapkan persatuan-persatuan pelajar akan mengangkat perkara itu ke pengurusan universiti, yang kemudian akan mengangkatnya ke kementerian.”

Seorang lagi pelajar berkata perlu ada cara lain untuk universiti mengurangkan kos tanpa perlu mengorbankan mutu pendidikan.

“Tidak adil dan sedikit tak faham mengapa sesuatu seperti ini boleh berlaku,” katanya.

“Jelas sekali apa langkah betul yang perlu dilakukan, tetapi mengapa universiti kita tidak melakukannya?”

Afiqah Farieza menyumbang kepada laporan ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *