Mahkamah batal saman RM100 juta waris Altantuya terhadap Kerajaan Malaysia

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi kelmarin membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman RM100 juta oleh waris Altantuya Shaaribuu yang mati dibunuh 2 anggota polis.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin dalam keputusan lisan berkata beliau mendapati plaintif tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah.

Beliau juga mengarahkan bapa Altantuya, Shaaribuu Setev dan 3 lagi membayar kerajaan RM1,000 sebagai kos.

Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili waris wanita Mongolia itu, berkata hakim akan kemukakan alasan bertulis nanti.

“Sebab yang diberikan hakim semasa membenarkan permohonan kerajaan itu sangat mendukacitakan,” katanya.

Ramkarpal berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan bagi pihak keluarga.

Beliau berkata saman terhadap 3 defendan lain – Sirul Azhar Umar, Azilah Hadri dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda akan diteruskan.

Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan 23 November ini.

FMT sebelum ini melaporkan selepas 10 tahun berlalu, Putrajaya cuba membatalkan saman itu dalam permohonan yang dibuat pada Mac.

Kerajaan, yang merupakan defendan ke-4, dalam afidavit mengatakan plaintif gagal merayu yang kerajaan secara tidak langsung boleh dipertanggungjawab untuk tindakan anggota polis Sirul dan Azilah.

Shaariibuu memfailkan afidavit untuk menjawab permohonan itu, mengatakan tuntutannya, yang difailkan pada 6 Jun 2007, berasas dan mempunyai merit.

“Selain daripada kausa tindakan tort, tuntutan itu turut meliputi tuntutan tanggungan dan tuntutan kerugian terhadap semua defendan,” katanya dalam afidavit.

Shaariibuu berkata kerajaan Malaysia boleh dipertanggungjawabkan kerana kerajaan majikan anggota polis terbabit.

Katanya, liabiliti defendan hanya boleh ditentukan apabila bukti dikemukakan dalam perbicaraan penuh.

Shaariibuu, isteri Altantsetseg Sanjaa, dan 2 cucu menyaman kerajaan, Abdul Razak, dan pembunuh, Sirul dan Azilah. Keluarga itu mendakwa ada konspirasi dalam pembunuhan Altantuya.

Pendengaran saman itu ditangguhkan sementara menunggu pelupusan kes bunuh itu.

Sirul dan Azilah disabit oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 atas kesalahan membunuh Altantuya, yang dikatakan seorang penterjemah.

Mereka berjaya menterbalikkan pensabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013 tetapi Mahkamah Persekutuan pada awal 2015 mengekalkan pensabitan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka.

Sirul tidak tampil ketika keputusan muktamad itu dibacakan dan kemudian didapati beliau sudah meninggalkan Malaysia. Mahkamah Tinggi kemudian mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Abdul Razak, yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu, dibebaskan di penghujung kes pendakwaraya.

Mahkamah memutuskan pendakwaan terhadap beliau tidak dapat dibuktikan dan kerajaan tidak merayu keputusan itu, langkah yang mengundang kecaman orang ramai.

Sirul, yang kini ditahan di pusat tahanan di Australia, dan Azilah, yang sedang menunggu hukuman mati di penjara Kajang, cuba mencabar saman itu.

Kedua-dua peguam mereka mengundurkan diri daripada tuntutan sivil itu sementara Abdul Razak melantik seorang peguam untuk mencabar saman itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *