Kes-kes perbicaraan dan siasatan libatkan MP Pandan – Rafizi Ramli

Saya akan berdepan dengan beberapa kes serentak minggu ini dan siasatan polis ke atas satu kes baru. Saya maklumkan disini untuk memudahkan rakan-rakan media menyusun jadual masing-masing.

1) Perbicaraan dakwaan memfitnah Tabung Haji (criminal defamation) di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan:

Bermula hari ini, Isnin (21 Ogos 2017) selama seminggu sehingga Khamis (24 Ogos 2017) jam 9 pagi sehingga 5 petang. Perbicaraan penuh dan pihak pendakwaraya akan memulakan kes hari ini.

Saya akan diwakili peguam-peguam Gobind Singh Deo, Saiful Izham Ramli, Ahmad Nizam Hamid, Adi Zulkarnain, Haijan Omar, Nik Zarith Nik Moustopha, Falihin Kamil dan Ashraf Othman.

Antara saksi-saksi yang berpotensi di subpoena untuk memberi keterangan termasuklah Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (bekas Gabenor Bank Negara), Tan Sri Ismee Ismail (bekas CEO Tabung Haji) dan Dato Seri Azeez Abdul Rahim (Pengerusi Tabung Haji).

Perbicaraan di Mahkamah Majistret Jenayah 4, Aras 4, Sayap Kiri, Kompleks Mahkamah KL di hadapan Majistret Puan Umzarul An Nur Binti Umar

2) Perbicaraan dakwaan di bawah BAFIA kes skandal NFC:

Peguam-peguam saya memfailkan hujahan pada hari ini. Hakim akan memutuskan sama ada saya dipanggil membela diri pada 21 September 2017.

3) Keputusan rayuan hukuman penjara setahun setengah kes OSA:

Keputusan akan dibacakan Hakim YA Datuk Azman Abdullah pada hari Rabu, 23 Ogos 2017 jam 9 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 3, Tingkat 4 (di depan lif sayap kanan).

4) Keterangan kes baru berkenaan 1MDB/Arab Saudi/Prasarana:

Saya telah dimaklumkan saya kini disiasat atas 3 kenyataan saya berhubung urusniaga yang melibatkan Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi (pelaburan Saudi Aramco di dalam RAPID, kehadiran tentera Malaysia di Arab Saudi dan kerugian yang ditanggung rakyat Malaysia akibat operasi keretapi di Saudi oleh Prasarana).

Saya akan memberi keterangan pada jam 5 petang di IPD Dang Wangi pada hari ini, Isnin 21 Ogos 2017.

Saya akan mengeluarkan kenyataan khusus mengenai perkara ini sekejap lagi.

Terima kasih atas kerjasama rakan-rakan media.

Rafizi Ramli
Naib Presiden PKR dan
Ahli Parlimen Pandan
21 Ogos 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *