Pusingan akhir rundingan HARAPAN untuk kerusi Parlimen di Semenanjung selesai

KUALA LUMPUR: Rundingan pembahagian kerusi di kalangan 4 parti Pakatan Harapan (HARAPAN) melibatkan kesemua 166 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia dijangka selesai semalam, menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau berkata HARAPAN buat masa ini memfokuskan kerusi di mana pertandingan 3 penjuru akan berlaku pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sebelum ini, PAS berkata kempennya untuk PRU akan datang, yang perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan, menjurus kepada pertandingan 3 penjuru. Ia kerana PAS enggan menyertai HARAPAN yang dianggotai PKR, DAP Amanah dan PPBM.

Rafizi bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perbincangan semula diadakan sekiranya ada isyarat daripada PAS.

“Kita tidak nampak isyarat yang PAS bersedia untuk berunding. Kita tidak boleh tunggu PAS.

“Tetapi jika PAS setuju untuk berunding pembahagian kerusi, kita akan berbincang ketika itu,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membayangkan masih terbuka untuk berbincang dengan PAS dalam soal penentuan kerusi, bagi memastikan pertandingan satu lawan satu melawan Barisan Nasional (BN).

Pelbagai penganalisis sebelum ini berkata, tanpa pertandingan satu lawan satu, mustahil mengalahkan BN disebabkan undi pembangkang yang berpecah.

Bagaimanapun, PAS tetap dengan keputusannya, dan baru-baru ini Pengarah Penyelidikan parti itu, Zuhdi Marzuki mendakwa kebanyakan pengundi Melayu mahu PAS bergerak sendiri tanpa menyertai HARAPAN dan BN.

Berdasarkan keyakinan itu, Zuhdi berkata pihaknya sukar berunding dengan HARAPAN.

“Jentera kita sudah siap sedia untuk menghadapi pertandingan 3 penjuru,” katanya kepada FMT.

Mei lalu, PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemimpin PKR termasuk Wan Azizah dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali melawat Presiden PAS Datuk, Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Rafizi berkata segala perbincangan kerusi antara mana-mana parti pembangkang perlulah dibawa ke dalam mesyuarat HARAPAN.

“Jadi sementara Azmin atas kapasiti peribadi cuba memujuk PAS, tetapi itu mesti dibawa dalam kerangka HARAPAN.

“Dan akhirnya HARAPAN akan membuat keputusan,” katanya, yang menjangkakan perkara tersebut dibincangkan pada mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN hari ini.

Terdapat 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi negeri di seluruh negara.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *