Jika Tragedi Memali terus digali, rakyat akan jumpa dengan jelas Amanat Haji Hadi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak boleh menafikan peranan amanatnya, sehingga tercetusnya tragedi berdarah Memali yang mengorbankan 18 nyawa, sekiranya dipanggil oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI).

Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, tragedi berdarah itu berlaku bertitik-tolak dari ketaksuban pengikut PAS terhadap kenyataan Hadi dalam ceramahnya di Kuala Terengganu yang dikenali sebagai ‘Amanat Hadi’.

“Sekiranya RCI diadakan, tidak dapat dielakkan hakikat tentang peranan Hadi melalui ‘Amanat Hadi’ sehingga berlakunya tragedi berdarah Memali,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insight.

Rahim berpandangan, RCI Memali adalah tidak perlu memandangkan ‘kertas putih’ telah pun tersedia dan boleh dibentang serta dibahaskan di Parlimen.

“Kertas putih tentang tragedi Memali sudah ada. Sepatutnya kerajaan bentangkan di Parlimen kertas putih itu dan bahaskan semula. Tetapi kalau sudah kehendak kerajaan hendak buat RCI, terserahlah,” ujarnya.

‘Amanat Hadi’ yang ‘dianuti’ rata-rata pengikut PAS ketika itu dilihat menjadi punca kepada budaya takfiri atau kafir-mengkafir sehingga mencetuskan kontroversi dan perpecahan masyarakat Islam negara ini khususnya di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Terengganu dan Kelantan.

Amanat Haji Hadi dipercayai menjadi punca budaya takfiri sebahagian pengikut PAS.

Ia telah menyebabkan kes solat dua imam dilaporkan berlaku selain perceraian dan timbulnya isu pulau-memulau serta tidak makan sembelihan orang UMNO.

Amanat itu antara lain cuba menggambarkan perjuangan UMNO sebagai ‘kafir’ dan sekiranya seseorang itu mati melawan ‘puak-puak ini’ maka ia dianggap sebagai mati syahid.

Taksub Amanat Hadi

Menurut Rahim, meskipun ‘pertempuran’ Ibrahim Libya dan pengikutnya bukan arahan PAS, namun ketaksubannya terhadap ‘Amanat Hadi’ menyebabkan pasukan keselamatan terpaksa mengambil tindakan.

“Apa yang Ibrahim lakukan bukanlah arahan parti tetapi dia sudah mengikuti ‘Amanat Hadi’ dengan begitu mendalam dan disebabkan itu polis terpaksa mengambil tindakan.

“Ada dua elemen penting dalam ‘Amanat Hadi’ ini. Pertama, dia kata orang-orang Islam tidak perlu menjadi Kristian, Yahudi, Nasrani untuk menjadi kafir, cukup dengan mengamalkan politik suku, agama suku, mereka sudah menjadi kafir.

“Kedua, dia kata perjuangan yang dilakukan mereka adalah jihad dan sekiranya terkorban dalam perjuangan, mati mereka adalah syahid,” katanya.

Ketika diminta mengulas cadangan itu, bekas Ketua Polis Negara dari tahun 1974-1994, Tun Mohamad Hanif Omar mempersoalkan maklumat apa lagi yang mahu dicari dalam tragedi tersebut.

“Apakah sebabnya mereka masih tidak puas hati? Apakah perkara penting yang masih belum terjawab?” soalnya, turut dilaporkan portal The Malaysian Insight.

Tambahan pula penubuhan RCI katanya melibatkan kos yang tinggi kepada rakyat.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah antara individu yang perlu dihadapkan ke jawatankuasa RCI tersebut jika ia dibuhkan ekoran kenyataan yang pernah dikeluarkan dalam ‘Amanat Hadi’.

Kit siang berkata demikian mengulas kesediaan kerajaan UMNO-BN untuk mempertimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasat kejadian yang berlaku pada 1985 di Memali, Kedah itu sehingga meragut 18 nyawa.

Isu lebih 30 tahun lalu ini muncul semula setelah berlakunya kontroversi dalam forum Nothing to Hide anjuran ARMADA, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, baru-baru ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannnya baru-baru ini mendesak kerajaan supaya menubuhkan RCI bagi menyiasat tragedi lebih 30 tahun tersebut.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *