Akibat salah urus tadbir dan penyelewengan, jutaan wang rakyat Johor tak dapat diselamatkan

Laporan Ketua Audit Negara 2016 siri 1 bagi negeri Johor telah mendedahkan pelbagai kelemahan tadbir urus dan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

Puluhan juta wang rakyat Johor boleh diselamatkan sekiranya budaya amanah dan akauntabiliti benar-benar diamalkan di setiap peringkat pentadbiran negeri.

Keyakinan ini semakin kuat apabila saya meneliti dengan tekun akan kedudukan negeri Johor dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 bagi siri 1 dalam seksyen Pengurusan Aktiviti/Kewangan/Jabatan/Agensi dan pengurusan Syarikat Kerajaan.

Audit telah secara khusus dan keras menegaskan bahawa negeri Johor berhadapan dengan kelemahan pematuhan prosedur serta dasar-dasar kerajaan dalam menguruskan projek.

Pertama, berhubung amalan tender terus yang diamalkan bagi sesetengah projek, contohnya perolehan yang melebihi RM0.5 juta bagi tahun 2015 dan 2016 di Majlis Daerah Kota Tinggi, telah tidak dijalankan secara tender terbuka, malah proses perolehan dipecah-pecahkan juga dilaksanakan dengan kos berjumlah RM4.17 juta, keseluruhannya. Ini menyebabkan kos meningkat, sekaligus mewujudkan budaya kronisme.

Disamping itu, Audit juga mendapati lima perolehan di beberapa pihak berkuasa tempatan yang melibatkan kos berjumlah RM0.90 juta masih belum digunakan dan terbiar.

Malah, Audit telah melaporkan bahawa pemasangan tiang bendera yang dilaksanakan secara rundingan terus juga dibazirkan dan dipasang bendera manakala peralatan gimnasium yang dibeli pada tahun 2015 masih tersimpan dalam kotak serta tidak diagihkan.

Negeri Johor juga berhadapan dengan kualiti kerja yang tidak memuaskan dan kelewatan. Kesan daripada ini akan menyebabkan kos projek meningkat, rakyat terkesan akan kelewatan menerima servis sekaligus menjejaskan kualiti perkhidmatan yang bakal diterima.

Sedangkan mereka adalah pembayar cukai, cukai yang dibayar tidak setimpal berdasarkan apa yang mereka dapat.

Lebih mendukacitakan, penipuan juga berlaku di mana kontraktor yang sama tetapi mempunyai nama syarikat yang berbeza-beza demi membolot perolehan yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.

Audit menyatakan bahawa “pemilihan kontraktor adalah tidak memuaskan kerana pemilihan kontraktor di MDP tidak mengikut kriteria yang ditetapkan. Disamping, harga kontraktor yang sama bagi setiap item”.

Laporan Ketua Audit juga memberikan amaran keras supaya setiap perolehan atau projek tidak lagi dilakukan tanpa melalui tender terbuka serta mestilah memenuhi kriteria yang ketat. Malah, tiada tindakan manipulasi dalam pemilihan tender dan pengurusan tender.

>> Komentar bebas Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) I 18 Ogos 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *