SPRM jangan berdalih siasat dakwaan duit RM230 juta dalam akuan Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat pada 12 Ogos lalu terhadap aset bernilai RM230 juta dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Laporan itu dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY, Jenny Choy susulan pendedahan Tun Dr Mahathir Mohamad dua minggu lalu terhadap bekas Ketua Pemuda UMNO tersebut, lapor Roket.Kini.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Zulkifli Ahmad setelah itu dilaporkan berkata pihaknya hanya akan membuat siasatan sekiranya laporan itu mempunyai asas.

“DAPSY nak mengingatkan Datuk Zulkefli bahawa beliau bukan private defence council kepada Zahid Hamidi.

“Kita sudah buat laporan, beliau kata hanya akan siasat jika ada asas (walhal) sama ada benar atau tidak, SPRM kena jalankan siasatan,” kata Ketua DAPSY Wong Kah Woh dalam sidang media hari ini.

Tambahan lagi, Zahid sehingga saat ini masih belum menafikan dakwaan Tun Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu pada 1 Ogos lalu mengeluarkan kenyataan dalam blognya menyelar Zahid dengan mengingatkan aset RM230 juta yang dimilikinya ketika mengepalai Pemuda UMNO.

“Berkenaan dengan Melayu mudah lupa, walaupun Zahid bukan keturunan Melayu, sudahkah Zahid lupa deklarasi harta yang dibuat olehnya kepada saya sebagai perdana menteri apabila ia dilantik ketua Pemuda Umno.

“Apabila saya tanya dari mana ia perolehi 230 juta ringgit yang ada dalam akaunnya, jawapannya kurang jelas,” kata beliau dalam blog Chedet.com.

Menurut Kah Woh, pihaknya telahpun menerima maklum balas daripada SPRM 14 Ogos lalu memaklumkan bahawa keputusan terhadap laporan yang dibuat akan diberi dalam tempoh tujuh hari bekerja.

“Buat masa ini kita akan tunggu dan lihat apa keputusan SPRM.

“Kami berpendirian SPRM bertanggungjawab untuk mulakan siasatan mereka,” katanya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *