Speaker Dewan Rakyat tolak usul bahas pelantikan Raus sebagai Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat menolak usul Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar Dewan Rakyat membahaskan lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika menolak usul itu berkata usul tidak dibenarkan di bawa ke dalam majlis mesyuarat Dewan Rakyat kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 27(3).

“Usul Datuk Seri bertarikh 9 Ogos setelah saya teliti saya dapati usul dikemukakan tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 27(3), di mana apa-apa usul hendak dikeluarkan tidak kurang daripada 14 hari dahulu sebelum dibahaskan.”

Sabtu lalu, Raus mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara untuk 3 tahun lagi berkuatkuasa 5 Ogos.

Pada 1 April lalu, Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-14 bagi menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara pada usia 66 tahun dan 6 bulan pada 31 Mac lalu. Umur persaraan wajib bagi para hakim ialah 66 tahun.

Pada 7 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata Raus akan terus menyandang jawatan ketua hakim negara selepas dilantik sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *