Siap siaga menangi PRU14, Wanita HARAPAN bentuk organisasi pilihan raya

KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah membentuk Jawatankuasa Wanita HARAPAN Peringkat Nasional gerak kerja serta hala tuju Wanita HARAPAN khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam satu kenyataan rasmi Ketua Penerangan Wanita HARAPAN, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pada mesyuarat pertama diadakan pada 9 Ogos lalu, semua parti komponen PKR, DAP, AMANAH dan PPBM (Bersatu) diwakili oleh Ketua dan 4 orang pimpinan tertinggi sayap wanita masing-masing.

Ketua Penerangan Wanita HARAPAN, Aiman Athirah Al Jundi

Bagi menyusun, memperkemas sekaligus memberikan impak yang lebih padu terhadap, maka satu keputusan konsensus telah diambil iaitu pembentukan ‘Jawatankuasa Wanita Pakatan Harapan Peringkat Nasional.’

Formula yang lebih kurang sama di peringkat Pakatan Harapan Nasional telah digunapakai dalam pembentukan ini. Salah seorang Ketua sayap wanita parti komponen HARAPAN dipilih menjadi Ketua Wanita HARAPAN, manakala Ketua-Ketua yang lain dipilih untuk menjadi Timbalan Ketua Wanita HARAPAN.

Seterusnya, Timbalan Ketua sayap-sayap wanita parti komponen dipilih menjadi Naib-Naib Ketua Wanita HARAPAN. Pemilihan Ketua tidak berdasarkan parti tetapi ia berdasarkan kepada keupayaan, merit dan kesepakatan bersama.

Menurut kenyataan itu juga Wanita Harapan juga telah membincangkan beberapa perkara penting berkaitan gerakerja Wanita dan persiapan memenangi PRU14 khususnya berkaitan tawaran-tawaran kepada wanita melalui satu manifesto ‘Agenda Wanita Malaysia’ yang akan dibengkelkan dalam waktu yang terdekat.

Termasuk juga hal-hal yang berkaitan dengan persiapan senarai calon-calon Wanita HARAPAN bagi PRU14 yang akan datang.

Wanita HARAPAN komited untuk terus mengangkat “Falsafah Martabat dan Hormat Wanita” merentasi setiap program dan polisi sama ada di peringkat Parti mahupun Kerajaan pada masa kini dan akan datang.

Sekaligus komited mengarusperdanakan peranan, pandangan dan keberadaan wanita termasuk kalangan wanita muda remaja dalam pelbagai fungsi serta posisi.

Wanita HARAPAN akan bersama-sama dengan semua pihak untuk berjuang menyelamatkan Malaysia, sekaligus memastikan kehidupan yang lebih sejahtera untuk rakyat Malaysia tanpa mengira beza kaum, keturunan, agama dan kecenderungan politik.

Berikut adalah senarai penuh Jawatankuasa Wanita HARAPAN Peringkat Nasional:

Ketua:
YB Zuraida Kamaruddin

Timbalan Ketua:
● YB Chong Eng
● YB Dr Siti Mariah Mahmud
● Rina Mohd Harun

Naib Ketua:
● YB Haniza Talha
● Aiman Athirah Al Jundi
● YB Mary Josephine
● Sdri Shamsilah Siru

Setiausaha:
● YB Teo Nie Ching

Bendahari:
● Azlinda Abdul Latif

Ketua Penerangan:
● Aiman Athirah Al Jundi

Pengarah Pilihan Raya:
● YB Haniza Talha

Penolong Setiausaha:
● Nurainie Haziqah

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *