Pakatan Harapan yakin boleh ganti BN dalam PRU14 jika tambah 10% undi Melayu

KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang meramalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) boleh mengambil alih kerajaan persekutuan daripada Barisan Nasional (BN) jika berjaya menambah 10% sokongan pengundi Melayu dan 5% peratus melibatkan kaum Cina dan India dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Berucap pada majlis partinya di Bahau 12 Ogos lalu, Kit Siang berkata, jika kemungkinan itu berlaku HARAPAN berupaya untuk memperoleh 113 kerusi Parlimen di Semenanjung.

“Unjuran ini menunjukkan dalam PRU14, sekiranya HARAPAN dapat menarik 10% pengundi Melayu dan 5% sokongan pengundi Cina dan India dari BN berbanding PRU13, akan ada tsunami politik Malaysia, Umno dan BN akan keluar dari Putrajaya dan PRU14 akan membentuk kerajaan persekutuan HARAPAN di Malaysia.”

Ahli Parlimen Gelang Patah ini berkata, sekiranya senario peralihan undi 10% dan 5% itu disaksikan bermakna HARAPAN akan memperoleh 113 kerusi Parlimen di Semenanjung, BN 50 manakala PAS pula 2.

Parlimen terdiri daripada 222 kerusi. Baki kerusi melibatkan Sarawak dan Sabah di mana kedua-duanya sering dilihat sebagai ‘deposit’ BN selama ini.
Dengan merujuk itu sebagai senario ke-3, Kit Siang juga menggariskan 2 senario lain.

Senario pertama menurut beliau akan menyaksikan PAS bertindak sebagai ‘pemusnah’ sehingga membolehkan BN memperoleh 113 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung.

Bagaimanapun katanya, PAS hanya akan berakhir dengan mengekalkan 6 kerusi berbanding 21 yang mereka menang pada 2013. Pada PRU 2013 BN memperoleh 85 kerusi Parlimen di Semenanjung.

Katanya, kemungkinan itu akan menjadi realiti sekiranya BN mengalami penurunan 1% undi kalangan kaum Melayu tetapi memperoleh tambahan 10% peratus masyarakat Cina dan kaum India pula 5%.

Menurut beliau senari itu adalah bersandarkan kepada apa yang berlaku semasa pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Jun 2016, di mana terdapat calon BN, HARAPAN dan PAS.

Di bawah senario ke-2, Kit Siang meramalkan kedua-dua BN dan HARAPAN akan memperoleh 80 kerusi manakala PAS pula 5.

Senario itu menurut beliau hanya akan berlaku sekiranya BN menyaksikan penurunan 5% undi kalangan orang Melayu, masing-masing 1% undi kaum Cina, India dan lain-lain kaum.

“Kesemua 3 senario juga menganggap DAP dan PKR akan bertanding di kerusi mereka tanding sebelum ini dalam PRU13, Amanah dan PPBM akan bertanding di kerusi yang sebelum ini ditanding PAS dan PAS akan bertanding di semua kerusi Parlimen di Semenanjung.”

PRU14 diramalkan akan dipanggil bila-bila masa tetapi ramai meramalkan menjelang November ini ataupun pada suku pertama tahun depan. Mandat semasa akan berakhir Ogos 2018.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *