Mufti Wilayah Persekutuan saran agar konsep anak tak sah taraf perluas dan diperjelaskan

BANGI: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri menyarankan agar konsep anak tidak sah taraf diperluas dan diperjelaskan sebaiknya.

Beliau berkata, ini kerana terdapat pernikahan yang tidak menepati prosedur seperti nikah berwali fasik dan sebagainya.

Zulkifli menyarankan satu pendidikan baharu mengenai anak tidak sah taraf ini untuk berlaku adil kepada mereka.

“Apa salahnya kita buat satu peruntukan baharu, kita berlaku adil. Kita kena ada satu semangat untuk jaga anak-anak seperti ini untuk ditarbiyah, itu hak sebenar.

“Yang ini kita sebut dalam Bayan Linnas dan difatwakan oleh ulama,” katanya kepada pemberita selepas majlis Bicara Ilmiah Anak Tidak Sah Taraf hari ini.

Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut bersetuju agar konsep anak tidak sah taraf diperhalusi.

“Ia perlu diperhalusi dalam kalangan orang berilmu, bukan Mahkamah Sivil terus buat keputusan dan sebagainya.

“Sebab dalam Islam bukan saja ada anak tak sah taraf, kita juga ada anak syubhah yang jarang-jarang dibincangkan,” kata Zainul.

Tambahnya, Seksyen 110 hingga 120 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga perlu dibuat pindaan dan diperhalusi seperti yang disarankan mufti itu.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Rayuan berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak Islam, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa kanak-kanak tersebut.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang menulis keputusan sebulat suara itu berkata, bidang kuasa ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai perkara itu adalah sivil dan terbatas.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *