AMANAH ingatkan Putrajaya agar jangan benar China bina pusat risikan wilayah

KUALA LUMPUR: Di sebalik laporan Putrajaya bakal menawarkan kepada China membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah, Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak harus terburu-buru menjadikan Malaysia sebagai satelit China yang baharu.

“Sekarang ini sudah banyak aset negara yang telah tergadai kepada China, jangan sampai nanti pentadbiran negara akan mengikut telunjuk China.

“Lihat sahaja pengalaman negara-negara Afrika yang menerima pelaburan gergasi dan pinjaman China yang akhirnya merana terpaksa akur kepada negara pemodal gergasi dunia ini,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, masih sempat untuk Najib bertindak demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, pertimbangan kerajaan Malaysia terhadap tawaran China untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah di Johor yang turut dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu adalah sangat dikhuatiri akan mengheret negara ke kancah konflik kuasa besar dunia.

Beliau berkata, tawaran itu adalah momentum negara tembok besar tersebut dalam memperkukuhkan pencerobohannya di Laut China Selatan.

“Laporan Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) menyatakan China hampir menyiapkan lebih 20 struktur bangunan di 7 pulau buatan di lokasi yang menjadi perebutan di sekitar Laut China Selatan.

“Pulau buatan ini turut dilengkapi sistem pertahanan termasuk senjata antipesawat, antipeluru berpandu dan pelancar misil jarak jauh,” kata beliau.

Kata Salahuddin, pertemuan November ini bersama Presiden China berhubung tawaran Beijing perlu diperhalusi sedalam-dalamnya agar Malaysia tidak terheret sama dalam kancah perebutan kuasa besar dunia.

“Negara-negara ASEAN perlu terus kekal neutral. Sungguhpun Singapura dan Filipina merupakan rakan karib AS tetapi yang paling penting ialah tiada mana-mana negara ASEAN yang membuka wilayahnya untuk pengkalan pertahanan kuasa luar,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *