Mahathir umum peranan baru Azmin dan Mohd Sabu dalam Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (HARAPAN) semalam mengumumkan pelantikan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin ke peranan baru dalam gabungan itu.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Parlimen mengumumkan Azmin dilantik pengarah pilihan raya gabungan bagi mengukuhkan jawatankuasa pilihan raya yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yasin. Azmin merupakan naib presiden gabungan.

Mohamad Sabu, yang juga Timbalan Presiden HARAPAN, dilantik Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi, manakala Zuraida dilantik Ketua Wanita HARAPAN.

Dr Mahathir turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Pengerusi HARAPAN Pulau Pinang, Azmin sebagai Pengerusi HARAPAN Selangor dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi HARAPAN Johor.

Lim Guan Eng dan Muhyiddin merupakan timbalan presiden gabungan.

“Manakala di negeri lain tempoh masa 2 bulan untuk lengkapkan senarai kepimpinan,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.

Menurut Dr Mahathir, pengumuman ini bagi mengisi kekosongan dalam struktur kepimpinan gabungan semasa.

Sebelum ini, HARAPAN mengumumkan Dr Mahathir sebagai pengerusi gabungan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum gabungan dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai Presiden gabungan.

Jawatan Ketua Setiausaha diisi bekas Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Bendahari diisi Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *