AMANAH persoal LHDN kenapa pilih bulu hanya dari keluarga yang sudah tidak lagi berkuasa?

KUALA LUMPUR: Pemimpin AMANAH, Datuk Raja Bahrin Shah mempersoalkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerbu beberapa syarikat dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan menyifatkannya “mencurigakan” dan berat sebelah.

Wakil rakyat Kuala Terengganu itu berkata tindakan sama sepatutnya dibuat ke atas keluarga pemimpin kerajaan lain seperti Khairy Jamaluddin, menantu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan Riza Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak yang terlibat dalam siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat berhubung dakwaan menyeleweng dana 1MDB.

“Kenapa tiada langsung siasatan dibuka terhadapnya?” soalnya.

“Kalau hendak buat siasatan, jangan satu keluarga sahaja.”

Dua hari lalu, pegawai penguatkuasa LHDN dilaporkan menyerbu beberapa pejabat syarikat yang dikaitkan dengan 3 anak Dr Mahathir, iaitu Datuk Mokhzani Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Mirzan Mahathir.

FMT difahamkan selain Kencana Capital Sdn Bhd milik Mokhzani, LHDN turut menyerbu Opcom Holdings Berhad dan Crescent Capital Sdn Bhd.

Ia beberapa minggu selepas Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mendakwa kenalan rapatnya kini berdepan tindakan pihak berkuasa, termasuk diganggu perniagaan mereka menerusi LHDN.

Salah seorang kenalan itu ialah ahli perniagaan Tan Sri Lee Kim Yew, yang pada Mei lalu berkata beliau disiasat di bawah undang-undang jenayah dan bukan sivil, memaksa beliau melepaskan asetnya untuk melangsaikan hutang cukai.

Raja Bahrin mempersoalkan sama ada siasatan itu dijalankan secara menyeluruh ke atas kesemua anak beranak bekas ahli kabinet.

Katanya, jika benar siasatan dilakukan ke atas semua anak menteri, mengapa hanya anak Dr Mahathir disasarkan LHDN.

“Lebih menghairankan lagi, kenapa tidak juga Rizal Aziz anak tiri Najib yang namanya tersohor di seluruh dunia dengan penglibatan beliau bersama Jho Low dalam skandal 1MDB dan pembelian hartanah mewah?” soalnya.

Beliau mempersoalkan sama ada Khairy dan Rizal “dari dalam kumpulan keluarga yang masih berkuasa”.

“Kenapa memilih bulu dan sasar hanya dari keluarga yang sudah tidak lagi berkuasa?

“Adakah ianya suatu kebetulan sahaja atau adakah LHDN dan SPRM menerima tekanan dari UMNO seperti dikatakan oleh orang ramai, menerima arahan dengan sahutan ‘saya yang menurut perintah’?” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *