10 manfaat ekonomi berdasarkan 7 ikrar HARAPAN dalm tempoh 100 hari selepas menang

Berdasarkan tujuh ikrar Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam tempoh 100 hari pertama selepas mengambil alih Putrajaya, eloklah dikupas kesannya terhadap ekonomi Malaysia dari segi makro dan mikro yang akhirnya bakal memberi impak kepada rakyat jelata dalam jangka masa panjang.

Antara ikrar yang bakal dilaksanakan segera itu ialah menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol, memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat dan memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh.

image: https://i.malaysiakini.com/1137/baa21ac34a48940c27aebafda8c7d068.jpeg

Tiga ikrar lain pula ialah memerangi rasuah hingga ke akar umbi, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) skandal 1MDB dan memulihkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Tidak susah untuk memahami bahawa isu-isu tersebut akan terus dicanang HARAPAN menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana ia menyentuh denyut nadi rakyat yang dahagakan perubahan dan memerlukan kerajaan yang lebih baik setelah Barisan Nasional gagal untuk menyelesaikannya.

Kesan makro

Dari segi makro, tindakan HARAPAN dalam melaksanakan ikrar tersebut akan menjurus kepada lonjakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ekoran kerancakan aktiviti perniagaan di peringkat dalaman dan luaran serta peningkatan tahap keyakinan masyarakat tempatan dan pelabur luar terhadap ekonomi negara.

Maknanya, rakyat negara ini akan lebih yakin untuk membuka perniagaan, pelabur asing lebih teruja untuk memasuki pasaran tempatan ekoran pasaran yang lebih stabil dan kemampuan berbelanja yang lebih baik bagi rakyat tempatan serta golongan profesional luar yang datang bekerja di negara ini.

image: https://i.malaysiakini.com/1081/eab784d0dfe2a32dccf0f2c4fac54106.jpg

Kedua, berbanding dengan amalan Barisan Nasional dalam perkiraan KDNK yang bakal disusuli dengan kenaikan harga, ikrar HARAPAN itu akan menyebabkan penurunan kadar inflasi setelah GST dihapuskan selain pendekatan menstabilkan harga petrol dan adanya usaha-usaha ke arah meringankan beban rakyat.

Sebelum ini, RAM Rating Services Bhd yang menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 5.2 peratus tahun ini turut menaikkan unjuran inflasi bagi tahun ini kepada 3.8 peratus daripada 3.0 peratus pada asalnya.

Ini bermakna, pertumbuhan KDNK di bawah kerajaan BN bukan suatu berita gembira kepada rakyat kerana bakal disusuli dengan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan secara tidak terkawal.

KDNK dan inflasi

Ketiga, apabila KDNK menunjukkan trend kenaikan dan kos sara hidup di Malaysia menjadi stabil, ia akan menarik pelaburan luar terutama daripada gergasi-gergasi ekonomi dunia seperti China, India, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Turki yang semakin yakin mengenai ketelusan kerajaan serta indeks rasuah yang semakin menurun.

Keempat, kawalan kerajaan dalam menguruskan kos sara hidup juga akan lebih terjamin dengan ketiadaan GST yang bukan sahaja memeritkan golongan rakyat yang hampir 90 peratus terdiri daripada golongan pekerja malah para peniaga yang turut terhimpit dan mengalami pengurangan keuntungan akibat pelaksanaan cukai tersebut.

image: https://i.malaysiakini.com/1100/1e6697f840531d4947a4fe90071a4e14.jpeg

Kesan kelima pula ialah pentadbiran kerajaan akan lebih telus dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan melapor terus di Dewan Rakyat mengenai aktivitinya sejajar dengan kepentingan syarikat tersebut sebagai tulang belakang ekonomi negara.

Pengagihan ekonomi daripada perniagaan Petronas juga akan lebih adil dengan tiada lagi campur tangan politik yang keterlaluan untuk memberi peluang berkali-kali kepada pedagang yang sama untuk membuka lebih dari satu stesen minyak di bawah satu individu.

Lebih dari itu, semua pihak dapat mengetahui jumlah dana yang terdapat dalam kantung Petronas dan ke mana ianya dibelanjakan dan bukannya seperti sekarang dengan hanya perdana menteri berhak untuk mengetahui dana firma petroleum milik negara itu.

Kesan mikro

Dari segi mikro pula, ikrar HARAPAN tersebut mampu untuk merancakkan pertumbuhan industri terutama berskala kecil dan sederhana selain dengan tiada monopoli dalam industri utama.

Bayangkan betapa lebih banyak syarikat yang akan muncul jika lebih ramai usahawan dibenarkan untuk mengedarkan barangan asas seperti gula, beras, minyak masak, sayur-sayuran dan banyak lagi selain munculnya lebih banyak peluang pekerjaan ekoran ketumbuhan tersebut.

image: https://i.malaysiakini.com/1038/c1cbaf0458e25bdf9ca3e042c1c26b33.jpg

Persaingan antara pedagang tersebut juga akan menekan harga agar menjadi lebih murah seperti mana yang berlaku kepada industri penerbangan negara setelah adanya AirAsia Berhad kerana sebelum itu, menaiki pesawat hanya menjadi kemampuan golongan berada sahaja.

Kesan keenam, ekoran proses reformasi institusi secara menyeluruh termasuk ekonomi, Malaysia juga akan menyaksikan penghapusan sistem permit import (AP) yang bukan sahaja meningkatkan bilangan usahawan pelbagai sektor malah menjadikan pengagihan ekonomi secara lebih adil antara semua kaum kerana sistem tersebut bukan sahaja tidak adil kepada mana-mana kaum termasuk Melayu sendiri selama ini.

Selama ini, ramai usahawan kecil Melayu turut mengeluh apabila sistem disalah guna oleh para taikun yang mempunyai pengaruh politik ke atas pihak tertentu dengan membolot sebahagian besar AP yang diberikan kerajaan sehingga menyebabkan usahawan lain terpaksa ‘meminta sedekah’ hanya untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Limpahan IKS

Ketujuh, dengan tumbuhnya lebih banyak industri kecil dan sederhana, kesan limpahan tersebut bukan sahaja membantu lebih ramai rakyat negara ini merasai manfaat dari segi peluang pekerjaan dan pendapatan sampingan, malah ia turut menambah pendapatan kerajaan menerusi kutipan cukai perniagaan yang lebih besar.

image: https://i.malaysiakini.com/1121/8544b2d6394da1c2a508c1bf6b0c9178.jpeg

Kelapan, pelan pemulihan yang dinantikan oleh lebih 110,000 peneroka Felda yang rata-ratanya berbangsa Melayu agar institusi keramat yang turut melambangkan maruah orang Melayu di negara ini akan kembali stabil setelah diberikan nafas baru dengan aktiviti perniagaan lebih berdaya maju serta kebertaruhan pengurusan lebih dinamik lagi berintegriti.

Selain itu, kesan kesembilan ikrar tersebut ialah harga perumahan dalam semua skala dan paras harga akan turun ke paras mampu dimiliki dengan pengurangan secara drastik aktiviti rasuah yang selama ini berlaku secara berleluasa dalam semua peringkat termasuk pemberian tanah untuk pembangunan dan kontrak kerajaan.

Akhir sekali, ekonomi Malaysia akan lebih telus, terbuka dan diyakini setelah sebuah RCI diwujudkan bagi merungkai ibu kepada segala skandal ekonomi yang melanda dunia bernama 1MDB yang bukan sahaja diperkatakan oleh rakyat negara ini tetapi juga penglibatan banyak negara luar untuk mengadilinya.

Semoga rampasan harta yang sedang dilakukan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dapat membantu menambah pendapatan negara bagi melangsaikan hutang keseluruhan kerajaan Persekutuan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016.

>> Komentar bebas Amran Ahmad Nor adalah lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari universiti di United Kingdom (UK) selain bekas wartawan meja ekonomi akhbar arus perdana. Pernah menjawat Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan I Tersiar dalam Malaysiakini 4 Ogos 2017.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *