HARAPAN tunggu masa terbaik sempurnakan formula kemenangan bersejarah di Johor

JOHOR BHARU: Kepimpinan utama Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor sedang menunggu masa terbaik untuk melancarkan sentuhan politik terakhir bagi menyempurnakan formula kemenangan bersejarah di negeri itu.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, sentuhan akhir ini sangat penting untuk membina keyakinan dan kepercayaan rakyat Johor terhadap tokoh-tokoh kepimpinan HARAPAN yang berkemampuan untuk menjunjung amanah rakyat di Johor.

“Johor adalah destinasi kejayaan HARAPAN bagi Pilihan Raya Umum ke-14. Segala persiapan telah diurus dengan sebaik mungkin.

“Sesiapa yang turut serta berpencak silat pastinya asyik dengan paluan gendang dan rebana rentak tarian politik negeri paling selatan dalam negara ini.

“Mereka tentunya dapat merasakan debaran kemenangan yang semakin hari semakin hampir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sikap serta jiwa besar, keterbukaan, kebijaksanaan dan saling hormat kepimpinan HARAPAN Johor untuk menerima secara konsensus kepimpinan HARAPAN Johor adalah formula bagi melonjakkan kemenangan yang efektif.

“Ia juga dalam nafas yang sama adalah merupakan manifestasi permuafakatan politik yang utuh bagi HARAPAN Johor,” katanya.

Justeru, Naib Presiden HARAPAN itu berkata, Umno-BN Johor tidak dapat menyembunyikan isyarat geruh kecundang apabila mereka berkonvensyen baru-baru ini.

“Dalam diam BN Johor menerima hakikat bahawa Bangsa Johor tidak boleh lagi memberi mandat kepada kepimpinan Umno BN yang korup. Bangsa Johor akan kembali cemerlang bersama HARAPAN,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *