Kesaktian media dalam kuntau politik Malaysia apa yang disebut ‘Emha Ainun Najib’

Politik adalah ilmu seni segala mungkin. Dalam memungkinkan segala yang mungkin itu, antara kemahiran besar yang dimiliki ramai operator politik ialah apa yang disebut Emha Ainun Najib (lebih dikenali dengan nama Cak Nun) sebagai ‘sakti’.

Pemimpin atau operator politik yang punya sakti, adalah pemimpin yang punya kebolehan untuk membolehkan segala yang boleh.

Sejarah kesultanan Melayu misalnya mengangkat figur-figur kuasa dengan kelebihan dan kesaktian. Lahir dari muntah lembu misalnya, adalah petanda-petanda sakti dan mistik.

Punya ilmu keris terbang, kebal, boleh menjampi serapah, ada kemampuan meramal masa depan, mengawal cuaca dan pelbagai lagi ilmu sakti bertaburan dalam sejarah politik orang Melayu.

Lihat sahaja gambaran yang diberikan dalam filem Musang Berjanggut. Bagaimana Tun Nila Utama bertarung dengan Megat Alang Sengketa dengan bersaktikan api, hujan, disumbat ke dalam botol dan dicampak masuk ke bumi.

Bukan sahaja Melayu, Islam juga hadir dengan membawakan kisah-kisah kesaktian bagi memujuk keyakinan umat para nabi dan rasul. Disebut ‘mukjizat’, antara yang paling popular ialah kemampuan Nabi Musa menukar tongkatnya menjadi ular, membelah laut; serta kehebatan Nabi Sulaiman bertutur dengan haiwan, mengawal angin dan lain-lain lagi.

Pendeknya, mahu jadi pemimpin, mesti punya sakti. Kalau tidak sakti, pastinya nanti ditewaskan orang lain yang lebih sakti.

Kata ‘sakti’ berakar daripada bahasa Sanskrit yang kebetulan membawa erti ‘kuasa’. Politik sebagai permainan kuasa dan takhta, memerlukan kesaktian yang berbeza-beza mengikut peredaran zaman dan tamadun.

Kalau dahulu, kesaktian itu terbit daripada ilmu-ilmu mistik, kesaktian zaman ini hadir dalam bentuk yang jauh lebih canggih.

Sakti atau ilmu silap mata yang saya maksudkan pada akhir zaman ini ialah sakti media massa, dan bagaimana ia digunakan untuk mengelabui mata orang ramai daripada maudu’ politik semasa.

‘Kutty’

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertindak melayangkan telefon pintarnya; kononnya memaparkan kad pengenalan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kononnya kad pengenalan lama Mahathir itu mencatatkan namanya sebagai ‘Mahathir a/l Iskandar Kutty’.

Ini dilakukan Ahmad Zahid ketika berucap di mesyuarat bahagian UMNO Kelana Jaya. Kerusi Parlimen Kelana Jaya ini ditandingi MCA. UMNO tak ada pun tak apa. Tetapi Zahid Hamidi dijemput ke sana, mungkin kerana Hishammuddin Hussein tidak berkelapangan.

Tetapi Zahid mengambil peluang tersebut untuk menyerang salasilah keturunan bekas bosnya, dengan membangkitkan persoalan mengenai ‘Iskandar Kutty’.

Tanpa segan silu dan pastinya dengan penuh sedar akan akibatnya, Zahid melakukan serangan itu. Nak kata tak cerdik, khabarnya ada PhD. Jadi kenapa sebenarnya Zahid membangkitkan soal ‘Iskandar Kutty’ dengan tidak semena-mena?

Adakah Ahmad Zahid Hamidi tidak risau dengan tindakbalas Mahathir Mohamad yang pastinya menunggu masa untuk mendedahkan satu demi satu dosa-dosa lampau Ahmad Zahid ketika berada di dalam kabinet dapur Mahathir?

RM2.58 bilion

24 April lalu, mahkamah timbangtara di London menyaksikan bagaimana kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan mencapai persetujuan dengan institusi dana berdaulat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) untuk membayar sejumlah US$ 1.2 bilion (RM2.58 bilion) kepada IPIC, ekoran skandal melibatkan 1MDB.

Skandal yang begitu rumit itu tidak perlu lah saya hurai panjang, kerana kita semua pun keliru belaka. Apa yang kita tahu dan pasti, pembayaran US$1.2 bilion itu perlu dibuat kepada IPIC dalam dua fasa.

Fasa pertama perlu dilangsaikan pada 1 Ogos lalu, dan pihak kerajaan telah gagal berbuat demikian.

RM2.58 bilion ini baru separuh daripada pembayaran penuh. Separuh lagi perlu dilangsaikan menjelang hujung tahun ini nanti.

Jumlah keseluruhan pembayaran yang perlu dibuat oleh Kerajaan Malaysia (ya lah, 1MDB itu kan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan) adalah sekitar RM5 bilion.

Lima ribu juta ini tidak lagi termasuk hutang-hutang 1MDB bernilai lebih RM40 bilion setakat bulan Mac tahun ini.

Pada masa yang sama, hutang negara yang meski berada pada 52.5 peratus daripada KDNK, adalah tidak termasuk liabiliti luar jangka dalam bentuk jaminan dan dan surat sokongan kerajaan untuk hutang-hutang 1MDB.

Hutang negara menyaksikan kenaikan sebanyak RM147 bilion dalam tempoh lima tahun; daripada RM501.6 bilion pada tahun 2013 kepada RM648.5 bilion pada tahun 2016. Angka ini boleh mencecah RM800 bilion sekiranya mengambilkira liabiliti luar jangka.

Sakti media

Tetapi semua ini tidak penting kepada kita, orang biasa-biasa. Kerana kita disibukkan dengan persoalan ‘Iskandar Kutty’ dan serangan peribadi terhadap Zahid Hamidi, sebagai balasan terhadap serangan ‘Iskandar Kutty’.

Inilah kesaktian media massa. Mengalih perhatian massa rakyat daripada apa yang lebih penting, kepada sesuatu yang lebih sensasi tetapi kurang penting.

Hati memang sentiasa menewaskan akal. Dalam hal ini, matematik rumit 1MDB yang memerlukan lebih banyak oksigen di kepala, tewas kepada isu kaum dan nasab keturunan Mahathir Mohamad, yang telah habis memakan oksigen di hati.

Menjelang pilihanraya umum tidak beberapa bulan sahaja lagi, media arus perdana yang dimiliki penuh oleh jentera kerajaan United Malays National Organisation akan terus mempermainkan hati kita semua dengan kesaktiannya yang pelbagai.

Dengan bermodalkan isu-isu kaum dan agama, media akan memperlihatkan kesaktiannya, memperbodohkan kita semua secara borong. Kita akan disumbat ke dalam botol seperti Megat Alang Sengketa, dan dicampak masuk ke dalam gelap pembodohan; supaya yang berkuasa akan terus berkuasa, yang kaya akan terus kaya.

Semoga kesaktian kita akan dapat menewaskan kesaktian mereka.

>> Komentar bebas Izmil Amri dan pernah diterbitkan terlebih dahulu di portal The Malaysian Insight I 8 Ogos 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *