Zahid Hamidi ‘pukul Mahathir di bawah paras pinggang’ – Mohamad Sabu

Kebiasaannya apabila berbalah dan mengungkit nama bapa dan keturunan ini adalah di kalangan budak-budak ataupun orang biasa. Ada juga kita bangkitkan soal keturunan untuk memuliakan diri kita atau keluarga. Namun soal keturunan atau asal usul ini bagi orang Islam, bukanlah boleh menjadi hujah utama menilai seseorang.

Kebaikan seseorang di sisi agama terletak kepada nilai taqwa sementara nilai khidmat dan pengorbanan boleh dijadikan sebagai hujah yang boleh ditonjolkan.

Bagaimanapun kesilapan yang pernah dilakukan seseorang pemimpin boleh juga diungkit untuk diterang kepada orang ramai jika ia boleh membawa kepada kebaikan bersama.

Saya tidak menyangka sama sekali orang bertaraf Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden Umno boleh mengungkit soal keturunan seseorang.

Sudah tentulah ungkitan soal keturunan ini meletakkan seorang bertaraf Timbalan Perdana Menteri seperti orang kampung, malah tidak keterlaluan saya katakan seperti budak-budak berkelahi dalam bilik darjah.

Mengungkit keturunan sesiapapun termasuk Tun Mahathir atau Najib Razak, bukan sikap seorang pemimpin yang baik apatah lagi berjawatan Timbalan Perdana Menteri.

Terangkanlah kesilapan di zaman pemerintahan Tun Mahathir tapi tidak perlulah sehingga menyerang peribadi dan keturunan. Begitu juga di pihak pembangkang, kita dedahkan kepada orang ramai isu pengsonglapan wang rakyat seperti skandal 1MDB.

Bukan ‘menumbuk di bawah paras pinggang’ seperti dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri. Apa yang dilakukan beliau ini cukuplah melambangkan tahap pemikiran beliau untuk dinilai oleh rakyat.

#AmanahDemiNegara

MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
1 Ogos 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *