Sabah, Sarawak dijangka bertukar kerajaan dalam PRU14 dakwa Dr Aziz Bari

KUALA LUMPUR: Tokoh perundangan Dr Abdul Aziz Bari membayangkan potensi pengundi Sabah dan Sarawak menukar kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang seiring perubahan politik yang dijangka berlaku di Semenanjung.

Hujah ini jelasnya bersandarkan beberapa isu menyentuh sentimen pengundi dua wilayah Borneo itu.

Ia antara lain melibatkan Perjanjian Malaysia 1963, pelantikan Ketua Hakim Negara, penggunaan nama Allah, Rang Undang-Undang (RUU) 355 dan skandal 1MDB yang meletakkan Sabah dan Sarawak dalam persimpangan.

“Kali ini nampaknya ada potensi yang pengundi Sabah dan Sarawak berubah selera.

“Sabah khususnya mempunyai sejarah menongkah arus pada pertengahan 1970-an ketika Tun Mustapha tewas kepada Berjaya dan pertengahan 1980-an melalui Parti Bersatu Sabah (PBS) diketuai Pairin Kitingan yang menjatuhkan Berjaya di bawah pimpinan Datuk Harris Salleh,” katanya kepada Roketkini.

Menurut Dr Aziz yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, faktor sejarah politik Sabah bertukar kerajaan memberi suntikan semangat dan keberanian kepada rakyat negeri itu untuk ‘mengajar UMNO-Barisan Nasional (BN)’ dalam pilihan raya umum akan datang.

“Seperti yang saya katakan, orang Sabah lebih berani dari orang Sarawak dan ini telah kita lihat dua kali sebelum ini. Sabah adalah Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor bagi Borneo Malaysia,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kemunculan dan pengukuhan Pakatan Harapan serta kemelut dalaman pemimpin UMNO juga dilihat menjadi faktor yang memungkinkan berlakunya perubahan parti yang memerintah.

Bagi Sarawak, Dr Aziz melihat ada sesuatu yang tidak kena apabila Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (Abang Jo) membuat keputusan menghantar sepasukan peguam ke London pada 1 Julai lalu untuk meneliti semula Perjanjian Malaysia 1963.

Kajian terhadap perjanjian itu juga katanya merupakan cubaan BN Sarawak untuk memberi gambaran yang lebih baik di mata rakyat dan pengundi sebelum ‘nasi menjadi bubur’.

“Saya fikir Ketua Menteri mahu berbuat sesuatu untuk mengelakkan timbulnya persepsi bahawa beliau adalah budak suruhan Najib.

“Beliau rasanya mahu menunjukkan legasi Tok Nan yang agak bebas dan berani perlu dikekalkan supaya rakyat Sarawak tidak melihat negeri itu sekadar mencukupkan undi untuk BN sahaja.

“Dalam dunia yang dikuasai oleh internet di mana Sarawak Report begitu dominan BN Sarawak terpaksa berbuat sesuatu sebelum nasi jadi bubur,” jelas Dr Aziz.

Ditanya sejauh mana usaha Ketua Menteri Sarawak itu membuahkan hasil, Dr Aziz berkata ianya bergantung kepada sejauh mana kerajaan Sarawak serius menangani isu berkenaan.

“Itu kena tunggu dan lihat; kita tengok setakat mana kerajaan pimpinan Abang Jo serius dalam inisiatif terbarunya itu,” ujarnya.

Mengulas isu kelemahan infrastruktur dan kemiskinan, beliau berkata gejala itu berlaku akibat rasuah dan pembolotan hasil mahsul negeri yang dibiarkan pemimpin UMNO-BN.

“Struktur federalisme kita bukan faktor yang menyebabkan Sarawak dan Sabah serta negeri-negeri lain mundur.

“Jika pimpinan negeri berhemah dan tidak lahap, negeri-negeri lain juga di semenanjung masih boleh maju,” katanya.

Ini terbukti dengan kemajuan yang dicapai oleh Selangor dan Pulau Pinang serta Kelantan, Kedah dan Terengganu sewaktu negeri-negeri itu ditadbir pembangkang antara 1999 sehingga sekarang katanya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *