Elaun sara diri guru pelatih perlu ditambah, bukan dipotong atau disuruh pinjam PTPTN

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya menyemak semula cadangan untuk menghentikan pemberian elaun sara diri dan perjalanan bagi guru pelatih yang menjalani Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, tindakan kerajaan menyarankan agar guru pelatih memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bagi menampung keperluan hidup juga disifatkan sebagai berlebihan, lapor Roketkini.

“Bukan sahaja ini (pinjaman PTPTN) akan menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan yang tidak menarik, ia juga akan menambah beban di bahu graduan perguruan yang banyak berkorban melalui kerja murni mereka mendidik anak bangsa,” katanya dalam satu kenyataannya.

Kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu, kerajaan sepatutnya meningkatkan lagi pemberian insentif kepada guru pelatih bagi menarik minat individu yang berkebolehan untuk mengisi bidang tugas penting berkenaan.

“Jika kualiti pendidikan di sekolah-sekolah kita mahu ditingkatkan, kualiti guru juga harus diberikan keutamaan yang paling penting,” kata Zairil yang juga Jurucakap Parlimen DAP bagi Hal Ehwal Pendidikan, Sains dan Teknologi.

Kerajaan Persekutuan UMNO-Barisan Nasional (BN) sebelum ini bercadang untuk memansuhkan elaun sara diri sebanyak RM430 sebulan dan elaun perjalanan sebanyak kurang RM500 setahun bagi guru pelatih yang menjalani PISMP di IPG.

Bagi menampung keperluan hidup, parti pemerintah itu turut menyarankan agar guru pelatih memohon pinjaman daripada PTPTN.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, meskipun kerajaan memperuntukkan jumlah bajet yang besar dalam sektor pendidikan, ia dilihat masih tidak menumpukan kepada perkara yang penting seperti pembangunan guru.

“Berbilion ringgit telah dihabiskan untuk projek ‘gajah putih’ seperti YTL 1BestariNet, sementara perkara penting seperti pembangunan guru dipotong bajetnya secara berterusan, menurun separuh daripada RM1.5 bilion pada 2015 kepada RM763 juta pada 2017,” ujarnya.

Malah, katanya, tindakan pemotongan itu juga dilihat bertentangan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang kononnya komited untuk meningkatkan kualiti guru.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *