Ambil iktibar dari Sri Lanka, sebelum Putrajaya ghairah setuju buat projek mega

Nazir Razak seperti dilaporkan The Edge menggesa agar kerajaan meneliti inisiatif Jalur dan Laluan (One Belt, One Road) oleh China, khususnya projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) pada persidangan meja bulat “China’s Belt and Road Initative in ASEAN: Economic Opportunities and ASEAN Centrality”.

Kami telah berkali-kali menyuarakan kebimbangan mengenai ECRL tetapi tidak diendahkan.

Sekarang, Nazir Razak, yang merupakan seorang pengurus bank terkemuka, turut menyatakan kebimbangannya mengenai proposisi nilai projek berkenaan selain kesan hutang. Justeru, kami berharap Putrajaya dapat menerima cadangan ini bagi meneliti perjanjian berkenaan.

Projek ECRL dianugerahkan kepada China Communication Construction Co Ltd (CCCC) tanpa melalui proses tender terbuka. Dengan harga RM55 bilion, ia dianggap oleh Edge Weekly sebagai landasan keretapi termahal seumpamanya selepas penolokan (benchmarking) dilakukan terhadap projek landasan di serata dunia.

Projek itu juga akan didanai dengan wang yang dipinjam daripada China melalui Export-Import (Exim) Bank of China. Putrajaya berkali-kali berkata bahawa pinjaman tersebut dikenakan kadar faedah yang rendah, tetapi ‘kadar faedah rendah’ bagaimana yang dimaksudkan kerajaan? Dan apakah terma dan syaratnya?

Secara ringkas, perjanjian ECRL ini seolah-olah, menyalurkan wang yang dipinjam dari China melalui Exim Bank untuk hanya dikembalikan semula kepada China melalui CCCC, sementara yang tinggal untuk rakyat Malaysia hanyalah infrastruktur yang terlalu mahal dengan tanggungan hutang yang besar, dan terpaksa dibayar oleh rakyat Malaysia di masa akan datang.

Pembinaan infrastruktur mega secara semberono bakal mendatangkan risiko berupa perangkap hutang yang besar kepada Malaysia.

Apa yang terjadi terhadap Sri Langka harus dijadikan iktibar tentang bagaimana infrastruktur mega yang didanai menggunakan hutang tanpa rangka kerja yang betul untuk memberi manfaat ekonomi tempatan sepanjang pembinaan dan penyudahanan infrastruktur berkenaan, akan memberikan keburukan dalam bentuk hutang dan bukannya pembangunan seperti yang diharapkan.

Daripada melaburkan wang ke dalam sektor pendidikan dan kesihatan, Sri Lanka membelanjakan sebahagian besar keuntungannya untuk membayar hutang kepada China yang pernah mendanai infrastrutur mega yang kini sangat kurang digunakan.

Sri Langka mempunyai sebuah lapangan terbang baru yang dikenali sebagai lapangan terbang paling kosong – Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa, yang mana hanya mengendalikan beberapa kapal terbang sehari.

Malah, Presiden baru Sri Lanka, Maithripala Sirisena – yang menyingkirkan bekas presiden Rajapaksa dengan mengambil kesempatan terhadap populariti yang merudum bekas penyandang berkenaan ekoran hutang besar dari China untuk membina infrastruktur terbabit – kini berhadapan protes ekoran tindakannya menganurgerahkan China sebidang tanah industri dengan tempoh pajakan 99 tahun bagi tujuan meringankan bebanan hutang yang ditanggung kerajaan Sri Lanka

Kita harus belajar daripada kesilapan Sri Lanka sebelum terlambat. Semua projek mega harus dikaji kebolehlaksanaannya selain dilakukan secara tender terbuka.

Sehingga kini, perjanjian ECRL dibayangi dengan pelbagai persoalan. Kerajaan Persekutuan perlu mendedahkan dokumen-dokumen berikut bagi membuktikan bahawa ia benar-benar telus:

Semua kajian berkaitan ECRL, termasuk kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan HSS;

Semua perjanjian rangka kerja pembiayaan dan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan serta pentauliahan yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan China; dan

Anggaran penumpang dan harga tiket bagi penumpang serta pengangkutan kargo bagi membolehkan projek ini berdaya saing secara ekonomi sesuai dengan harganya.

Dengan segala maklumat daripada dokumen-dokumen di atas, orang awam boleh menilai sama ada projek ini dinilai dengan prosedur pembiayaan yang betul.

Dengan itu, kami menggesa agar kerajaan lebih telus dalam mengendalikan projek mega. Sekali lagi, kami menggesa agar Putrajaya menyemak semula perjanjian ECRL yang dibuat dengan kerajaan China.

>> Komentar bebas YB Yeo Bee Yin, Adun Damansara Utama I 28 Julai 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *